TEMERLOH - Tindakan seorang penghantar barang menyembunyikan sepucuk pistol palsu di bawah kerusi pemandu terbongkar selepas ditahan dalam serbuan berkaitan dadah di Paya Keladan di sini pada Sabtu.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 29 tahun yang menetap di Bera turut didapati memiliki bahan disyaki dadah yang dianggarkan bernilai RM1,022.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas suspek, pihak polis menemui 15 mililiter cecair vape yang disyaki dadah berbahaya jenis MDMA serta 6.15 gram serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Ekoran serbuan tersebut, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek sebelum menjumpai sepucuk pistol palsu berwarna hitam yang disorok di bawah kerusi pemandu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah.
Menurut, Mohd Nasyim, semakan menerusi Sistem Pengurusan Rekod Jenayah mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
"Suspek direman selama tiga hari bermula Ahad hingga 15 September di Lokap IPD Temerloh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan senjata api,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan bagi membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di daerah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada polis menerusi talian 09-2716222.