MELAKA - Seramai 45 orang waris daripada tiga generasi keluarga Allahyarham Datuk Non Johari atau Datuk Zainol Abidin Johari berjaya berkumpul di Melaka bagi menjayakan Himpunan Warisan Tok Non Johari (HIMWAR-TNJ) 2026) yang berlangsung selama tiga hari dua malam, dari 3 hingga 5 September 2026.
Menurut Penasihat HIMWAR-TNJ 2026, Zarina Datuk Zainol Abidin, idea untuk mengadakan himpunan keluarga buat julung kalinya itu tercetus hasil daripada perbincangan bersama menantunya.
“Saya terfikir, betul juga kata menantu saya. Keluarga saya besar dan tidak pernah berkumpul sebegini. Mungkin telah tiba masanya untuk kita berkumpul, setelah 28 tahun ayah saya pergi meninggalkan kami semua.” ujar beliau.
Hasil daripada cetusan idea tersebut, HIMWAR-TNJ 2026 akhirnya berjaya direalisasikan dengan penyertaan hampir keseluruhan ahli keluarga daripada tiga generasi.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu diisi dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga.
Antaranya termasuklah bacaan tahlil, sukaneka, pertandingan karaoke serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang menceriakan suasana sepanjang himpunan berlangsung.
Menurut Zarina, beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan oleh generasi pelapis pada masa akan datang.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan oleh generasi pelapis dan dapat kita adakan lagi pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya dengan penuh semangat.
Beliau turut berharap agar himpunan seperti ini dapat menjadi satu wadah untuk generasi akan datang mengenali, menghargai dan terus mengeratkan hubungan sesama waris keluarga.
Untuk rekod, Allahyarham merupakan seorang tokoh politik Kedah yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Senator.
Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1998.
HIMWAR-TNJ 2026 diharapkan menjadi titik permulaan kepada satu tradisi baharu dalam keluarga Dato’ Non Johari, sekali gus memastikan hubungan kekeluargaan dan warisan yang ditinggalkan terus terpelihara daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.