MANILA – Hampir 2.4 juta pengundi di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di selatan Filipina mengundi pada Isnin dalam pilihan raya Parlimen pertama sejak wilayah berkenaan ditubuhkan pada 2019.
Pengundian bersejarah itu dilihat sebagai langkah penting ke arah pemerintahan sendiri selepas berdekad-dekad konflik bersenjata dan keganasan di wilayah majoriti Muslim tersebut.
Sebanyak 80 kerusi dipertandingkan bagi menentukan anggota Parlimen yang akan membentuk badan perundangan wilayah itu.
Daripada jumlah tersebut, 40 kerusi diperuntukkan kepada wakil parti politik, 32 kerusi kepada wakil daerah dan lapan lagi kepada wakil sektor.
Ketua Menteri Bangsamoro yang mengetuai cabang eksekutif wilayah berkenaan akan dipilih oleh anggota Parlimen pada persidangan pertama selepas pilihan raya.
Pegawai pilihan raya menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab selepas proses pengundian ditangguhkan selama beberapa tahun.
Bagaimanapun, proses pilihan raya itu dicemari keganasan sehari sebelum pusat mengundi dibuka.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina, George Garcia berkata, Cotabato City diletakkan di bawah kawalan suruhanjaya itu selepas kejadian tembakan pada lewat Ahad mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan 15 yang lain.
Dalam kejadian berasingan di bandar sama, letupan bom buatan sendiri mencederakan individu yang membawa bahan letupan itu, manakala satu lagi kejadian melibatkan tembakan dilaporkan tidak menyebabkan kecederaan.
Bandar Maluso di Basilan turut diletakkan di bawah kawalan Suruhanjaya Pilihan Raya selepas kertas undi yang telah ditanda terlebih dahulu ditemui di 36 daripada 68 pusat mengundi.
Garcia berkata, beliau mengarahkan percetakan semula kertas undi dengan segera bagi pusat mengundi terjejas, menyebabkan proses pengundian di lokasi berkenaan ditangguhkan.
Beliau turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan atau membeli undi.
“Pilihan raya ini berdiri atas perjuangan Bangsamoro selama beberapa generasi untuk tanah air, identiti dan hak menentukan nasib sendiri, dalam menghadapi kehilangan tanah, peminggiran, konflik dan pengorbanan,” katanya dalam kenyataan terdahulu.
Pusat mengundi dijadual ditutup pada jam 7 malam waktu tempatan.
Tamat era pemerintahan peralihan
Pilihan raya itu menandakan berakhirnya tempoh peralihan di bawah Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA), iaitu kerajaan wilayah sementara yang dilantik pada 2019.
BARMM ditubuhkan susulan perjanjian damai 2014 yang bertujuan memberikan autonomi lebih luas kepada wilayah berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, bekas anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersetuju melucutkan senjata dan meninggalkan tuntutan untuk menubuhkan sebuah negara Islam berasingan di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Katolik.
Konflik yang tercetus sejak 1970-an itu dianggarkan mengorbankan kira-kira 150,000 nyawa.
Wilayah Bangsamoro sebelum ini pernah menjadi tempat perlindungan kumpulan ekstremis, namun tahap keganasan dilaporkan semakin menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pilihan raya Parlimen pertama itu sekali gus dilihat sebagai ujian penting terhadap usaha mengekalkan keamanan dan memperkukuh pemerintahan sendiri di wilayah yang sekian lama terperangkap dalam konflik. - Agensi