BAITULMAQDIS – Israel membelanjakan hampir AS$470,000 (RM1.9 juta) untuk perkhidmatan dandanan rambut, solekan dan perbelanjaan representasi rasmi Perdana Menteri sejak 2019 hingga Ogos 2026, menurut data yang didedahkan Pejabat Perdana Menteri Israel.
Data itu diperoleh susulan permohonan berdasarkan undang-undang kebebasan maklumat yang dikemukakan peguam Yaara Winkler-Shalit pada Disember 2025.
Menurut laporan itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan isterinya, Sara menyumbang kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan rambut dan solekan berkenaan.
Antara September hingga November 2023, kerajaan membelanjakan hampir AS$2,600 (RM10,575) untuk dandanan rambut dan AS$1,580 (RM 6,425) bagi perkhidmatan solekan Perdana Menteri.
Pada Oktober 2023 sahaja, sekitar AS$810 (RM3,295) dibelanjakan khusus untuk dandanan rambut Netanyahu.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan berubah mengikut tahun. Pada 2023, ia mencecah kira-kira AS$103,000 (RM 418,901) berbanding AS$27,600 (RM112,249) pada 2022 ketika pentadbiran Naftali Bennett dan Yair Lapid.
Perbelanjaan tertinggi direkodkan pada 2025, iaitu sekitar AS$111,000 (RM451,437) , sebahagian besarnya berkaitan lawatan luar negara.
Lawatan Netanyahu ke Washington pada Februari 2025, misalnya, menelan kira-kira AS$13,500 (RM54,904) bagi perkhidmatan solekan dan dandanan, manakala lawatan ke bandar sama pada Julai 2024 melibatkan perbelanjaan sekitar AS$11,500 (RM46,770) .
Dalam pada itu, elaun representasi rasmi termasuk kos pakaian dan layanan rasmi mencatat AS$134,000 (RM544,978) bagi Netanyahu, AS$19,000 (RM77,273 ) bagi Bennett dan AS$2,600 (RM10,574) bagi Lapid.
Bagaimanapun, kerajaan tidak mendedahkan maklumat berkaitan perbelanjaan barang kemas, pakaian atau khidmat perunding imej, walaupun perkara itu turut diminta oleh Gerakan Kebebasan Maklumat. - Agensi