GEORGE TOWN – Program Jelajah Belanjawan ke Pulau Pinang menjadi platform kerajaan mendapatkan pandangan serta cadangan pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat bagi memastikan Belanjawan yang bakal dibentangkan lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan pelbagai sektor.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jelajah tersebut merupakan antara pendekatan kerajaan untuk memahami dengan lebih dekat perkembangan industri penting di setiap negeri.
Selain itu katanya, ia juga bagi mengenal pasti cabaran serta keperluan sektor yang mempunyai potensi besar terhadap ekonomi negara.
“Biasanya kita datang ke setiap negeri untuk memahami industri-industri yang penting. Saya bermula di Sabah, di Tawau kerana kita mahu melihat konsep Blue Economy serta mendengar pandangan daripada peserta dalam sektor tersebut.
“Sebelum sampai ke Pulau Pinang, saya turun ke Perak untuk melihat perkembangan industri automotif dengan melawat Automotive High-Tech Valley (AHTV)di Tanjung Malim,” katanya.
Beliau sebelum itu menghadiri Program Tinjau Pelaksanaan Sekolah Angkat Madani TM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al- Mashoor di sini pada Isnin.
Menurutnya, lawatan ke Pulau Pinang turut memberi tumpuan kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang sememangnya memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri dan negara.
Tambahnya, beliau turut dijadualkan melawat Kulim, Kedah pada petang Selasa bagi melihat perkembangan sektor automotif selain bertemu peserta industri peranti perubatan di Pulau Pinang.
“Malaysia adalah antara negara yang betul-betul maju dalam sektor peranti perubatan. Kita menghasilkan pelbagai perkakasan perubatan termasuk 'catheter' yang digunakan dalam jantung, 'pacemaker' dan produk-produk yang dieksport ke luar negara.
“Ini antara sektor yang mempunyai nilai ekonomi tinggi dan berpotensi meningkatkan penggajian dalam negara kerana ia mampu mewujudkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Amir menambah, matlamat utama Jelajah Belanjawan adalah untuk mendapatkan cadangan secara langsung daripada sektor yang terkesan dengan perkembangan ekonomi semasa.
Menurutnya, cadangan yang diterima akan diteliti kerajaan untuk menentukan perkara yang boleh dimasukkan dalam Belanjawan manakala cadangan lain akan dikaji dengan lebih lanjut bersama kementerian dan agensi berkaitan.
“Kita boleh melihat apa yang boleh kita sambut daripada segi kerajaan sebahagiannya dimasukkan dalam belanjawan dan sebahagian lain kita akan kaji lagi.
“Kita juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi untuk melihat bagaimana kita boleh meningkatkan lagi keupayaan menyokong sektor-sektor itu pada masa depan untuk negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sesi kumpulan fokus yang dilaksanakan sepanjang Jelajah Belanjawan turut banyak menyumbang kepada peningkatan kualiti penyediaan Belanjawan.
Katanya, penyediaan Belanjawan tidak hanya bergantung kepada kementerian dan agensi kerajaan sebaliknya turut mengambil kira pandangan serta cadangan daripada industri, NGO dan rakyat.
"Jelajah Belanjawan ini dijangka akan berakhir dalam masa terdekat," ujarnya.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026 dengan perbelanjaan kerajaan diunjurkan mencecah rekod RM440.9 bilion dengan perbelanjaan pembangunan diunjurkan antara RM85 bilion hingga RM90 bilion.
Tumpuan utama adalah dengan menampilkan 10 bidang tumpuan termasuk kos sara hidup, gaji, perlindungan sosial, serta reformasi fiskal.
Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Ogos lalu, Belanjawan Madani kelima itu akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani.
Antaranya ialah Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.
Ends.