KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan lapan kenderaan di kawasan jejambat menghala ke Luyang, di sini, pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Arizal Wahid, 44, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja, disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh tujuh kilometer dari BBP Lintas.
"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux menggunakan peralatan khas namun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.55 pagi," katanya.