KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bagi menghadapi pendakwaan berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Jamil Khir berpakaian kemaja putih dan sut hitam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam 7.40 pagi.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman dilapor berkata, pendakwaan itu membabitkan kes berkaitan Laporan RCI TH, selepas pihaknya memperoleh kebenaran Peguam Negara untuk mengemukakan pertuduhan di mahkamah.
SPRM dilapor mengesyorkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang merujuk kepada kesalahan dengan curang menyalahgunakan atau mengalih, menggunakan atau mencairkan harta kepunyaan pihak lain untuk kegunaan diri sendiri secara tidak jujur.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.
Untuk rekod, setakat Khamis lalu, empat individu sudah didakwa di mahkamah.
Mereka yang telah didakwa ialah Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd.
Turut didakwa Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad.