Apabila meme tular jadi bahasa orang politik

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat berhubung frasa ‘guru’ yang digunakan oleh Ahmad Zahid untuk menyindir dasar Kerajaan Perpaduan.

FENOMENA ‘guru, hentikan guru’ yang bermula sebagai hantaran spontan seorang YouTuber ketika menonton video kungfu nampaknya sudah memasuki perkembangan luar biasa. Daripada slogan yang mencuit hati di TikTok, ia kini menjadi bahasa 'sindiran rasmi' antara dua pemimpin tertinggi negara.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan frasa ‘guru’ untuk menyindir dasar Kerajaan Perpaduan yang dilihat beliau berubah-ubah mengikut angin politik.

Iklan
Iklan

Walaupun tidak menamakan secara spesifik tetapi sindiran itu cukup jelas bahawa ‘guru’ yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan ketua kepada Ahmad Zahid dalam Kerajaan Perpaduan.

Menariknya, Anwar tidak berdiam diri. Dari New Delhi beliau membalas dengan gaya tersendiri dengan menggelar dirinya ‘guru’ secara terbuka, ditambah dengan ‘slayyy’ sebagai penutup manis. Sindiran dibalas dengan jenaka dan bukannya dengan kekerasan.

Iklan

Apa yang menarik di sini bukanlah sekadar pertarungan kata-kata tetapi bagaimana bahasa di media sosial kini menjadi medan pertembungan politik sebenar.

Dahulu, sindiran politik disampaikan melalui peribahasa atau retorik formal. Sekarang trend tular TikTok seolah-olah menjadi 'senjata' kerana ia lebih cepat sampai ke hati rakyat muda. Malah, lebih senang tular berbanding ucapan yang panjang berjela.

Iklan

Tidak salah mana-mana pemimpin menggunakan meme sebagai sindiran, malah ia sesuatu yang menarik. Cuma ada sesuatu yang perlu dilihat sekiranya isu serius seperti subsidi rakyat dan kos sara hidup disampaikan dalam bentuk sebegini.

Presiden UMNO mungkin berjaya membuatkan perwakilan ketawa tetapi adakah sindiran terhadap dasar kerajaan itu benar-benar sampai sebagai satu kritikan membina atau sekadar punchline singkat yang kemudian dilupakan.

Perdana Menteri pula dilihat bijak memberikan reaksi namun jawapannya agak mengelirukan untuk menjawab kritikan dasar yang dibangkitkan oleh timbalannya itu. Apabila isu-isu penting dan unsur jenaka berjalan seiring, sukar hendak membezakan yang mana satu serius, yang mana satu bergurau.