Daniesh permata baharu JDT

Iklan
Daniesh (kanan) tampil dengan permainan bertenaga, larian pantas serta berani mencabar pertahanan lawan. - FOTO: FB Johor Southern Tigers

DUA gol dalam debut bersama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah cukup untuk membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya, siapa Muhammad Daniesh Amirruddin?

Pemain berusia 20 tahun itu muncul daripada kelompok pemain pembangunan JDT dan terus mengambil peluang apabila diturunkan menentang UM Damansara dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September lalu.

Iklan
Iklan

Masuk pada separuh masa kedua, Daniesh tidak kelihatan kekok apabila beraksi bersama pemain senior, sebaliknya tampil dengan permainan bertenaga, larian pantas serta keberanian mencabar pertahanan lawan.

Lebih menarik, dia turut menunjukkan ketenangan ketika berada di hadapan gawang dan dua kali berjaya menewaskan penjaga gol untuk membantu JDT mencatat kemenangan 10-0 serta mara ke suku akhir dengan agregat 14-1.

Iklan

Dua gol itu mungkin menjadi pengenalan paling mudah untuk mengenali Daniesh, tetapi ada lebih banyak cerita di sebalik kemunculan penyerang muda ini.

Gol pertamanya juga mencuri perhatian apabila Daniesh melakukan 'cutback' sebelum membuat 'placing' dengan cukup tenang untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Iklan

Gerakan itu mengingatkan kepada teknik yang sering dilakukan pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi, sekali gus mencetuskan perbandingan dalam kalangan penyokong yang mula melihat Daniesh sebagai antara permata baharu JDT.

Namun, terlalu awal untuk meletakkan Daniesh sebaris dengan Arif Aiman yang sudah membuktikan kemampuan di pentas tertinggi.

Buat masa ini, apa yang lebih menarik ialah melihat bagaimana pemain muda itu berkembang selepas mendapat peluang pertamanya bersama skuad utama.

Dalam penampilan keduanya menentang Negeri Sembilan, Daniesh sekali lagi menunjukkan keberanian apabila tidak gentar melakukan percubaan dari jarak jauh.

Karakter itu memberikan gambaran bahawa Daniesh tidak mudah tenggelam apabila berada dalam kelompok pemain senior, walaupun pengalaman di peringkat tertinggi masih baharu buatnya.

 

Daniesh melalui proses yang panjang dalam sistem pembangunan bola sepak sebelum namanya muncul bersama skuad utama JDT. - FOTO: FB Johor Southern Tigers

Sebenarnya, Daniesh sudah melalui proses panjang dalam sistem pembangunan bola sepak sebelum namanya muncul bersama skuad utama JDT.

Anak kelahiran Merlimau, Melaka itu mula mengasah bakat sejak berusia sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sagil, Tangkak sebelum kemahirannya terus digilap di Ledang Warriors Academy.

Tangkak FA menjadi kelab pertamanya sebelum Daniesh menyertai Akademi JDT pada awal musim 2024.

Dia memulakan perjalanan bersama JDT IV dalam saingan Piala Belia dan menjaringkan 11 gol pada musim tersebut ketika membantu pasukan muncul juara.

Prestasinya membuka laluan untuk dinaikkan ke JDT III bagi saingan Piala Presiden 2025 dan Daniesh sekali lagi menjadi antara penyumbang penting dengan 12 gol ketika pasukan menjuarai kejohanan berkenaan.

Ketajamannya berterusan musim ini apabila dia kini mendahului senarai penjaring Piala Presiden 2026 dengan 11 gol.

Daniesh turut membawa sentuhan sama ketika membantu Johor meraih pingat emas bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dengan enam gol sepanjang kejohanan.

Rentetan prestasi bersama JDT III dan Johor itu akhirnya membuka pintu skuad utama, dan Daniesh terus memanfaatkannya dengan dua gol dalam penampilan pertama.

Persembahan tersebut turut mendapat pujian jurulatih JDT, Xisco Munoz yang mengakui barisan kejurulatihan Akademi JDT melakukan kerja yang baik dalam menyediakan pemain muda yang berani dan yakin untuk diturunkan bersama skuad utama.

Namun, Munoz mahu Daniesh dan pemain muda lain memahami bahawa satu atau dua persembahan baik belum cukup untuk menjamin tempat dalam kesebelasan utama.

“Buat para pemain muda, mereka kena faham. Ini bukan satu hari, dua hari atau tiga hari.

“Mereka kena konsisten dalam setiap perkara yang dilakukan setiap hari untuk dapatkan peluang seperti ini (beraksi dalam kesebelasan utama),” katanya.

Dua gol itu hanyalah permulaan. Cabaran Daniesh selepas ini adalah untuk terus bekerja keras, mengekalkan konsistensi dan membuktikan bahawa dia bukan sekadar muncul seketika.

Daripada JDT III dan skuad emas Sukma ke skuad utama JDT, Daniesh sudah membuka pintu.

Jika terus diberikan peluang dan mampu memanfaatkan setiap minit permainan, tidak mustahil permata baharu Harimau Selatan ini akan mempunyai cerita besarnya sendiri.