SEREMBAN - [KEMAS KINI] Pengorbanan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sanggup berjauhan daripada keluarga serta berdepan pelbagai risiko demi memastikan perkhidmatan kesihatan sampai kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman, wajar dihargai.
Doktor gigi dan pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie berkata, berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat bersama KKM, beliau memahami cabaran yang perlu ditempuhi oleh petugas kesihatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, selain perlu bersedia untuk ditempatkan jauh daripada keluarga, ada petugas yang terpaksa menggunakan pelbagai jenis pengangkutan termasuk ambulans dan helikopter bagi sampai ke lokasi untuk memberikan rawatan serta perkhidmatan kesihatan.
"Sebenarnya seronok apabila berkhidmat dengan KKM kerana kita mendapat banyak pengalaman. Selain menaiki helikopter, kita juga perlu menaiki ambulans dan semua itu mempunyai risiko kemalangan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang di sini pada Ahad untuk memberikan perghormatan terakhir kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, termasuk Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
Dr Fie berkata, beliau turut terkesan dengan pemergian lima petugas berkenaan yang disifatkannya sebagai wira
"Kita perlu hargai warga KKM. Mereka datang ke hospital bukan sekadar menjalankan tugas, tetapi memberikan komitmen kepada pesakit walaupun berdepan pelbagai dugaan.
"Saya berharap masyarakat yang mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dapat menghargai dan melayan doktor serta jururawat dengan baik," katanya.
Beliau turut mengakui berasa takut sekiranya perlu menaiki helikopter, namun mengagumi keberanian petugas yang sanggup melakukan perjalanan jauh ke kawasan pedalaman Sarawak demi menjalankan amanah.
"Kalau sayalah yang kena naik helikopter, saya memang takutlah. Tapi mereka boleh pergi jauh di Sarawak.
"Tapi sebagai seorang yang pernah bersama KKM, saya rasa itu pengalaman yang tak boleh dilupakan dan itu menjadikan kita lebih kuat di luar," katanya.