SEREMBAN - Bapa kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu melihat kehadiran ramai yang mengiringi perjalanan terakhir anaknya itu.
Bagi Bee Sham Ahmad, 59, kehadiran begitu ramai individu yang datang ke pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini menjadi bukti anak keempat daripada 12 beradik itu disayangi ramai.
Menurutnya, sepanjang lima hari empat malam berada di Sarawak bagi menguruskan pelbagai perkara berkaitan anaknya, beliau tidak tidur membaca perkongsian orang ramai di media sosial berkenaan kebaikan Allahyarham.
"Dalam tempoh beberapa hari sebelum kejadian berlaku, dia kerap masuk ke kawasan pendalaman membawa petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga ramai penduduk di sana menyayanginya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Senawang di Forest Heights di sini pada Ahad.
Bee Sham berkata, perjalanan ke sesetengah kawasan pedalaman bukan mudah kerana terdapat lokasi yang memerlukan penerbangan menggunakan helikopter yang tempohnya lebih singkat berbanding menggunakan jalan darat.
Katanya, setiap kali anaknya ke kawasan berkenaan, dia akan menginap di rumah inap desa di sana, malah ketika hari kejadian, pemiliknya sudah siap memasak makanan.
"Itulah yang menunjukkan betapa sayangnya orang-orang di pedalaman kepada dia walaupun tempoh dia di sana agak singkat, kira-kira dua tahun lebih," katanya.
Beliau berkata, kasih sayang terhadap Allahyarham turut jelas dirasainya apabila ramai individu yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada anaknya.
Ujarnya, keadaan itu jelas menunjukkan yang Allahyarham disenangi ramai termasuklah oleh rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang dan agama.
Selain itu Bee Sham berkata, sebagai seorang bapa, beliau sememangnya mengetahui anaknya seorang yang baik selain gemar menyebarkan dakwah dalam kalangan rakan-rakannya.
Ujarnya, Allahyarham juga sentiasa menjaga solat dan berusaha menunaikan ibadah pada awal waktu.
"Saya rasa ALLAH mahu tunjukkan sesuatu bahawa kepulangannya ke rahmatullah adalah satu daripada amalan yang dia lakukan.
Dalam pada itu Bee Sham berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berlaku.
Mengulas mengenai dakwaan yang tular berhubung keadaan helikopter yang digunakan uzur, Bee Sham berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi, namun mengharapkan pengangkutan digunakan lebih diberikan perhatian.
Tambahnya, anaknya mempunyai pengalaman kira-kira sembilan tahun dalam bidang penerbangan dan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat sebelum ini.
Terdahulu, Jenazah Allahyarham yang yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Height Senawang di sini pada jam 6.04 petang.
Pengebumian tersebut dihadiri lebih 500 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.
Turut kelihatan, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, dan dua anak mereka Adelia Sofia Zainol Afiq, 6, dan Ian ZaynZainol Afiq, 9 bulan.
Sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Bandar Baru Senawang di sini.