KOTA BHARU – Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin dikenang sebagai seorang wirawati kemanusiaan yang mengorbankan diri untuk memberikan khidmat kesihatan kepada masyarakat di pedalaman Sarawak.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, di sebalik pengorbanan Allahyarham yang sanggup merantau jauh untuk menabur jasa, ada ibu bapa yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang serta mendidiknya dengan nilai pengorbanan.
Menurutnya, keluarga juga merelakan anak kesayangan mereka berbakti kepada insan lain, manakala suami Allahyarham turut menjadi tulang belakang penting sepanjang perjalanan hidupnya.
“Namun, negara mengenang beliau sebagai seorang wirawati kemanusiaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.
Jenazah Dr Ainul Baraah, 33, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper selepas disolatkan di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, di sini, oleh kira-kira 1,000 jemaah.
Beliau berkata, kehadiran ribuan jemaah yang memenuhi setiap ruang masjid bagi mengiringi dan mendoakan perjalanan terakhir Allahyarham menjadi bukti bahawa arwah pergi dalam keadaan disayangi, dihargai dan dikenang kerana baktinya.
“Lautan manusia itu menjadi saksi tanpa kata betapa beliau pergi dalam keadaan disayangi, dihargai dan dikenang kerana baktinya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Kementerian Kesihatan, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Agama Islam Sarawak serta pengurusan Hospital Miri.
Penghargaan itu turut ditujukan kepada seluruh agensi dan petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, pengurusan jenazah serta urusan membawa pulang Allahyarham ke pangkuan keluarga.
“Segala ikhtiar, khidmat dan kebersamaan kalian amat kami hargai,” katanya.
Mohd Nassuruddin turut menyampaikan penghargaan kepada ibu dan bapa Allahyarham yang membesarkan seorang anak untuk keluarga, namun akhirnya menghadiahkan seorang wirawati kepada masyarakat dan negara.
“Semoga ALLAH SWT merahmati Allahyarham, menerima segala khidmat dan pengorbanannya sebagai amal soleh serta mengurniakan kekuatan buat seluruh keluarga.
“Selamat pulang, wirawati. Jasadmu telah kembali, baktimu kekal dalam ingatan,” katanya.