Perjalanan terakhir Dr Ainul selesai lebih awal

Iklan
Kamarudin (kiri) yang menerima kehadiran Dr Dzulkefly (kanan) di Kelantan pada Ahad. 

KOTA BHARU - Keluarga meluahkan rasa syukur apabila perjalanan terakhir dan urusan pengebumian Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin lancar serta dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan.

Bapa arwah, Kamarudin Salleh, 69, berkata, pada awalnya keluarga dimaklumkan proses pengecaman identiti, forensik dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mungkin mengambil masa yang lama.

Iklan
Iklan

ARTIKLE BERKAITAN: Nahas helikopter: Menteri Kesihatan imamkan solat jenazah Dr Ainul

Nahas helikopter: Jenazah Dr Ainul tiba di kampung halaman

Iklan

Jenazah Dr Ainul, Kapten Zainol dibawa pulang hari ini

“Tapi Alhamdulillah, rezeki arwah, kerana kerjasama daripada semua pihak, terutama sekali daripada Kementerian Kesihatan, saya sangat bersyukur semuanya sudah selesai, bahkan lebih awal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai pengebumian jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah di sini pada Ahad.

Iklan

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Baung, Pengkalan Chepa selepas selesai disolatkan kira-kira 1,000 jemaah yang diimamkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan isteri, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob.

Dr Ainul Baraah antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak pada Selasa lalu.

Turut terkorban, juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Kamarudin berkata, proses pengecaman identiti dan analisis DNA anaknya itu diketahui pada Sabtu, lebih awal berbanding jangkaan Ahad, sekali gus membolehkan jenazah dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian.

Beliau turut merakamkan penghargaan khas buat Dr Dzulkefly serta semua pihak termasuk Kerajaan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang membantu menguruskan kepulangan jenazah anaknya menggunakan pesawat C-130H Hercules.

Sementara itu, katanya, pelbagai maklumat yang tersebar di media sosial termasuk mengenai tarikh pengebumian Allahyarham dan dakwaan jenazah akan dikebumikan pada Jumaat lalu dianggap sebagai tanda ingatan dan doa orang ramai kepada anaknya.

“Bagi saya tak mengapalah sebab saya rasa itu adalah tanda ingatan kepada kami.

“Saya berterima kasih sekali lagi kepada semua,” katanya.