Dunia dikejar, akhirat ditangguh

Iklan
Jika mahu mula mengejar akhirat, mulakan dengan perkara yang mudah. Bangun dan tunaikan solat Subuh.

KITA sanggup bangun sebelum Subuh untuk mengejar kapal terbang, tetapi berapa ramai yang sanggup bangun sebelum Subuh untuk mengejar reda Allah?

Jam 5 pagi berbunyi, tangan terus meraba telefon, skrin menyala dan WhatsApp diperiksa, media sosial dibuka, video pendek ditonton satu demi satu.

Iklan
Iklan

Lima minit menjadi 15 minit, lima belas minit menjadi setengah jam. Kemudian azan Subuh berkumandang. “Sekejap lagi...”

Mata terpejam semula.

Iklan

Begitulah ironinya kehidupan kita hari ini. Untuk urusan dunia, kita takut terlambat. Takut terlepas mesyuarat, takut lambat ke pejabat, takut terlepas peluang, takut anak ketinggalan dan takut tidak cukup wang.

Namun, apabila berkaitan dengan akhirat, kita sering merasakan masih ada banyak masa. Solat kadangkala ditangguhkan kerana kesibukan, al-Quran dibaca apabila ada kelapangan, sedekah menunggu rezeki lebih, belajar agama menunggu masa yang sesuai dan usaha untuk berubah pula sering kita anggap boleh dimulakan kemudian.

Iklan

Persoalannya, mengapa kita begitu bersungguh-sungguh mengejar sesuatu yang pasti kita tinggalkan, tetapi begitu santai terhadap sesuatu yang akan kita hadapi selama-lamanya?

Tidak salah mengejar dunia. Kita perlu bekerja, mencari nafkah, membayar rumah, membesarkan anak dan menyediakan keperluan keluarga. Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi malas atau meninggalkan dunia.

Namun, masalah bermula apabila dunia menjadi perlumbaan yang tidak pernah tamat.

Kita mahu lebih banyak wang, rumah yang lebih besar, kereta yang lebih baik, telefon yang lebih baharu, pengikut media sosial yang lebih ramai dan kehidupan yang kelihatan lebih sempurna.

Dalam perlumbaan itu, tanpa kita sedari, kita mungkin semakin jauh daripada Allah. Kita sibuk membina kehidupan yang kelihatan indah pada pandangan manusia, tetapi lupa menyediakan bekalan untuk kehidupan yang akan kita lalui seorang diri.

Mengejar akhirat pula bukan bermaksud berhenti bekerja, berhenti berniaga atau membuang segala kesenangan dunia. Sebaliknya, kita menjalani kehidupan di dunia dengan tujuan akhirat.

Kita bekerja kerana Allah, mencari rezeki yang halal kerana Allah, membesarkan anak sebagai amanah kerana Allah dan membantu orang lain kerana Allah.

Telefon, wang dan kerjaya boleh menjadi alat. Namun, jangan sampai semuanya menjadi terlalu dominan sehingga menguasai masa, fikiran dan hati kita.

Jangan sampai kita begitu pantas membuka telefon sebaik sahaja bangun tidur, tetapi terlalu berat untuk membuka al-Quran.

Jangan sampai kita tahu apa yang sedang tular di media sosial, tetapi tidak tahu bilakah kali terakhir hati kita benar-benar tunduk kepada Allah.

Jika mahu mula mengejar akhirat, mulakan dengan perkara yang mudah. Bangun dan tunaikan solat Subuh.

Jika mampu, bangun sedikit lebih awal untuk menunaikan solat sunat tahajud walaupun hanya dua rakaat dan jadikan ia sebagai rutin harian, bukan sekadar dilakukan apabila hati terasa sempit atau ketika ada kelapangan masa.

Baca al-Quran walaupun hanya beberapa ayat, beristighfar ketika memandu, bersedekah walaupun sedikit terutama kepada anak yatim, jaga percakapan, cuna memaafkan kesalahan orang lain, tinggalkan dosa dan lakukan kebaikan yang tidak perlu diketahui sesiapa.

Kerana mengejar akhirat bukan tentang melakukan sebanyak-banyak amalan dalam satu masa, tetapi tentang kesungguhan untuk terus melangkah walaupun sedikit demi sedikit.

Amalan yang kecil tetapi dilakukan secara konsisten mampu membentuk kebiasaan, mendidik hati dan mendekatkan dirikita kepada Allah.

Malangnya, kita selalu berasa masih mempunyai masa. Umur masih muda, anak-anak masih kecil, kerja masih banyak, hutang masih belum selesai.

Nanti apabila sudah bersara, kita akan lebih banyak beribadah. Nanti apabila sudah tua, kita akan lebih dekat dengan Allah.

Tetapi siapa yang menjamin kita akan sampai ke usia itu?

Kematian tidak menunggu kita bersedia, ia tidak menunggu rumah selesai dibayar, tidak menunggu anak-anak habis belajar dan tidak menunggu kita selesai melancong.

Apabila waktunya tiba, kita akan pergi. Segala yang kita kejar akan berhenti di belakang.

Yang masuk bersama kita di dalam kubur hanyalah amal soleh.

Mungkin selama ini kita terlalu takut kehilangan dunia sehingga lupa bahawa dunia memang akan hilang daripada kita. Kita takut wang berkurang, tetapi tidak takut pahala berkurang.

Kita takut telefon rosak, tetapi tidak takut hubungan dengan Allah rosak. Kita takut tidak sempat melihat dunia, tetapi tidak takut tidak sempat bertaubat.

Mungkin sudah tiba masanya kita menukar perlumbaan. Kejar dunia sekadar perlu, jangan kejar dunia sehingga kehilangan akhirat.

Kita tidak perlu menunggu tua untuk berubah, kita tidak perlu menunggu hidup menjadi sempurna untuk mendekati Allah. Mulakan hari ini, walaupun dengan satu langkah kecil.

Kerana akhirnya, kita semua akan berhenti berlari. Persoalannya bukan lagi berapa banyak wang yang berjaya kita kumpulkan, tetapi apakah yang sudah kita siapkan untuk dibawa pulang?

Dan apabila nama kita suatu hari nanti hanya tinggal pada batu nisan, telefon tidak lagi berbunyi, akaun bank tidak lagi boleh digunakan dan rumah yang kita banggakan dihuni oleh orang lain, apakah yang masih kita miliki?

Ketika itu, mungkin kita akan sedar bahawa banyak perkara yang kita kejar selama ini sebenarnya tidak pernah menjadi milik kita untuk selama-lamanya.

Kita tidak tahu berapa lama lagi perjalanan ini akan berlangsung. Mungkin masih panjang, mungkin juga tinggal beberapa langkah sahaja.

Yang pasti, setiap hari yang berlalu membawa kita semakin dekat kepada satu destinasi yang tidak dapat dielakkan.

Maka, jangan terlalu santai dalam urusan akhirat. Kejar dunia sekadar memenuhi keperluan, tetapi jangan sampai ia membuatkan kita lupa kepada kehidupan yang kekal.

Gunakan usia, masa, kesihatan dan segala nikmat yang masih ada untuk mengumpul bekalan sebelum semuanya ditinggalkan. Kerana dunia ini tempat kita singgah dan bukan tempat kita tinggal selamanya.

Suatu hari nanti, kita akan meninggalkan semuanya. Persoalannya, apabila tiba masa untuk pulang, adakah kita sudah membawa bekalan yang cukup untuk bertemu dengan-Nya?

* Penulis ialah Guru Bahasa di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia