KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera selepas ditikam ketika sedang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai ditikam menggunakan besi tajam oleh suspek yang tidak dikenali.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.
"Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan.
"Laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada jam 1.30 petang Ahad yang dibuat oleh rakan mangsa," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
"Usaha mengesan suspek yang terlibat masih dijalankan dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.