ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja Tiga) kepada pesawah di Kedah.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu sehingga 16 September dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pada pagi Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Baja lewat: Pesawah buat laporan polis tuntut ganti rugi
Isu lewat agih baja: 'Siasat sampai ke akar umbi' - Sanusi
Jangan hanya siasat, Pesawah mahu kerajaan bayar ganti rugi
Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan berkenaan ketika dihubungi dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM Kedah membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pembekalan Baja Tiga yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkeluasan kira-kira 100,000 hektar.
Siasatan itu susulan aduan diterima daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lalu berhubung kelewatan pengagihan bekalan baja kepada pesawah.