JOHOR BAHRU - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menepis tanggapan bahawa jelajah penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijalankannya mengganggu proses perundangan yang sedang berlangsung di mahkamah.
Beliau berkata, penganjuran siri jelajah tersebut bertujuan memberikan kesedaran awam agar isu salah urus tadbir sedemikian tidak berulang di TH mahupun institusi lain, selain menangkis kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak terhadap laporan RCI.
"Mahkamah kita tak kacau, itu jalur hukum yang kita biarkan. Tujuan laporan RCI itu dibawa ke pengetahuan umum supaya kita ambil pengajaran dan pada masa sama menepis kekeliruan yang timbul, seperti pihak yang tidak menghormati atau menimbulkan keraguan terhadap fakta RCI.
“Siri jelajah penerangan berkenaan akan meneruskan sasarannya ke seluruh Semenanjung Malaysia secara berterusan bagi memastikan kesedaran awam dapat dipupuk secara berperingkat, khususnya dalam kalangan umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penerangan RCI Tabung Haji di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, empat individu didakwa di mahkamah, manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan, kurang dua bulan selepas laporan itu didedahkan kepada umum.
Mereka yang telah didakwa ialah Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad; serta bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd.
Turut didakwa Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad, yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis lalu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin depan berhubung siasatan SPRM susulan penemuan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesyorkan tiga pertuduhan terhadap individu berkenaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
Mengulas lanjut mengenai siasatan isu berkenaan, Mujahid menjelaskan tindakan semasa adalah bersandarkan kepada 14 kes yang dirujuk untuk diambil tindakan lanjut.
Menurutnya, hampir separuh daripada 14 kes tersebut dikenal pasti dan dilaporkan kepada pihak polis semasa pentadbirannya pada 2018 ketika proses pemulihan TH dijalankan.
"Laporan polis telah pun dibuat pada zaman itu, tetapi tiada tindakan susulan sehinggalah berlaku perubahan kerajaan. Jadi hari ini, nampaknya usaha berkenaan diteruskan melalui laporan RCI yang ada," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan pada bila-bila masa untuk tampil memberikan keterangan atau membantu siasatan berhubung laporan RCI TH.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang panggilan atau arahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun sudah lama bersedia dan tiada masalah untuk beri keterangan jika diperlukan,” ujarnya.