LONDON - Seorang bekas penyelidik kecerdasan buatan (AI), Anthropic mendakwa pekerja dalam industri itu kini 'benar-benar takut' melihat kepantasan teknologi tersebut berkembang dan kemungkinan kesannya terhadap masa depan manusia.
Jacob Coxon yang meninggalkan Anthropic berkata demikian kepada BBC pada Sabtu ketika mengulas tentang catatan peletakan jawatannya yang tular selepas beliau memberi amaran mengenai perkembangan AI yang semakin sukar dikawal.
“Saya percaya jika kita tidak memperlahankan kadar kemajuan semasa, ada kemungkinan besar kita semua akan mati dalam masa terdekat,” katanya.
Pengunduran Coxon dibuat ketika kebimbangan terhadap keselamatan AI semakin mendapat perhatian termasuk dalam kalangan pemimpin industri itu sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Anthropic, Dario Amodei turut menggesa pembangunan AI diperlahankan menerusi kenyataan diterbitkan pada Sabtu.
Coxon, 27, yang pernah bekerja di OpenAI sebelum menyertai Anthropic menyambut baik gesaan itu, namun menegaskan usaha berkenaan perlu turut melibatkan China.
“Dua peneraju industri AI, Sam Altman dan Elon Musk juga bersetuju bahawa memperlahankan pembangunan AI adalah langkah yang baik. Namun, usaha itu perlu diselaraskan dengan Beijing bagi mengelakkan perlumbaan teknologi AI pada peringkat antarabangsa,” ujar Coxon.
Menurut Coxon, persoalan paling sukar ialah membayangkan bagaimana AI boleh membawa kepada “malapetaka besar” terhadap manusia. Beliau berkata senario itu berpotensi menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.
Dalam esei bertajuk We Must Pace the Frontier, Amodei mengemukakan pelan tiga perkara yang merangkumi pemantauan bebas terhadap model AI sepanjang proses pembangunan, peraturan di peringkat industri serta peraturan global.
Antara risiko yang turut diketengahkan Amodei ialah kewujudan sekumpulan bot yang bertindak seperti superkomputer dan berpotensi mengambil alih internet.
Sementara itu, penyelidik keselamatan AI, Evan Hubinger percaya teknologi AI berpotensi membunuh seluruh manusia.
"Secara peribadi, saya fikir kemungkinan itu melebihi 10 peratus dalam tempoh sedekad akan datang," katanya.
Tokoh terkemuka dalam bidang AI sudah sekian lama memberi amaran mengenai ancaman keselamatan yang dibawa teknologi itu termasuk pemimpin OpenAI, Google DeepMind dan Anthropic yang menyuarakan kebimbangan sama pada 2023.
Kegusaran itu semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan bukti terbaharu yang menunjukkan teknologi berkenaan semakin sukar ditangani. - Agensi