GURUN - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) berjaya menyelesaikan penghantaran 10,500 tan metrik (MT) Baja Padi Sebatian Tambahan atau Baja 3 bagi Musim 1 ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam tempoh 10 hari.
Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, penyaluran bekalan itu dilaksanakan selepas menerima arahan pembekalan pada 3 September lalu.
Menurutnya, bekalan berkenaan diagihkan terus kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA yang berperanan sebagai stokis strategik bagi memastikan input pertanian dapat disalurkan mengikut jadual penanaman yang kritikal.
"Baki bekalan kemudiannya berjaya diselesaikan sepenuhnya pada tengah hari Sabtu, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 10,500 MT dalam tempoh 10 hari seperti yang disasarkan," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan baki bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA akan mula dihantar pada 3 September dan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran itu akan dilaksanakan MNFSB selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengarahkan MADA supaya proses berkenaan dipantau secara rapi sehingga bekalan benar-benar sampai kepada pesawah.
Dalam pada itu, Muhammad Faris berkata, kepantasan pelaksanaan itu membuktikan kesiapsiagaan ekosistem NAFAS dalam bertindak balas terhadap keperluan mendesak di peringkat ladang.
Menurutnya, keupayaan operasi berkenaan disokong MNFSB di Gurun yang mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan mencecah 360,000 MT.
“Bagi NAFAS, 10,500 MT ini adalah amanah untuk kebajikan pesawah.
“Kejayaan menepati garis masa 10 hari ini membuktikan apabila rantaian NAFAS, MNFSB, MADA dan rangkaian 27 PPK bergerak serentak, kita mampu merungkai permasalahan demi membela kepentingan pesawah.
“Ukuran sebenar operasi kami adalah kualiti produk dan ketepatan masa,” ujarnya.