Jerebu: Penutupan sekolah di Serian, Lubok Antu dilanjutkan, 12 daerah dibuka Isnin depan

Iklan
Penutupan sementara sekolah di daerah Serian dan Lubok Antu dilanjutkan. Gambar hiasan/Bernama

KUCHING - Penutupan sementara sekolah di daerah Serian dan Lubok Antu dilanjutkan sehingga bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kedua-dua daerah kembali berada di bawah paras 200.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, selain mengambil kira laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau/Sebauh akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin depan.

"Sebarang perubahan berkaitan operasi sekolah atau perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Iklan

JPNS turut memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan pelitup muka dalam masa terdekat kepada semua murid, guru dan kakitangan sekolah yang dikenal pasti terjejas teruk akibat jerebu.

Menurut JPNS, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan cuaca panas, jerebu atau keadaan cuaca luar jangka.

Iklan

Sehubungan itu, pihak sekolah diingatkan supaya mengambil langkah sewajarnya sekiranya fenomena jerebu melanda kawasan atau daerah masing-masing.

"Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.

"Apabila bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke sekolah.

"Pembukaan semula sekolah pula tertakluk kepada bacaan IPU yang kembali berada di bawah paras 200,” menurut kenyataan itu.

JPNS turut memaklumkan ibu bapa dan penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak jagaan masing-masing ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka susulan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak.

Bagaimanapun, perkara itu perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah.

JPNS memaklumkan penutupan sementara sekolah juga boleh dilaksanakan berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari semasa ke semasa.

Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah seliaannya turut diingatkan supaya melaksanakan langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan murid ketika cuaca panas atau berjerebu.

"Pihak sekolah perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas atau berjerebu bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas, memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

"Selain itu, murid dinasihatkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap dalam kuantiti yang sesuai bagi membantu mengawal suhu badan,” menurut kenyataan itu.

JPN Sarawak menegaskan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dan orang ramai dan ibu bapa dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada saluran rasmi jabatan itu berhubung status operasi sekolah di daerah masing-masing. - Bernama