MELAKA - Kerajaan Perpaduan kini lebih memberi tumpuan untuk menghabiskan baki tempoh pentadbiran dengan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat berbanding memikirkan cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, kerajaan perlu memanfaatkan penggal yang berbaki setahun lagi untuk memberi fokus kepada pentadbiran negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Bagi kita, kita nak fokus pada pentadbiran negara dan kita nak pastikan bahawa baki penggal yang kita ada ini, kita buat terbaik untuk rakyat.
“Banyak kerja lagi yang kita kena buat dan ada bermacam-macam cabaran ekonomi yang mungkin kita akan lalui. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nak fokus kepada perkara tersebut,” katanya ditemui pada Perasmian Cawangan Ke-25 Emas Sri Semantan di Ayer Keroh pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar Kerajaan Perpaduan supaya mengeluarkan Barisan Nasional (BN) secara rasmi daripada kerajaan jika benar parti itu tidak lagi diperlukan dalam pentadbiran negara.
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu berkata, tindakan tersebut perlu dibuat secara terbuka dan mengikut proses demokrasi, termasuk mengadakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya kerajaan benar-benar berani mengambil langkah berkenaan.
Azman berkata, kestabilan kerajaan penting bagi memastikan usaha membina negara dapat diteruskan tanpa terlalu dibebani persaingan politik.
Malah katanya, Anwar kini sedang berusaha membuka lebih banyak peluang pelaburan ke Malaysia, selain meneroka peluang pelaburan di negara-negara anggota BRICS menerusi Sidang Kemuncak BRICS demi kebaikan negara yang manfaatnya untuk rakyat.
“Dulu kita tahu imej negara kita sangat buruk tapi sekarang kalau di luar negara orang tanya dari mana?’, kita dari Malaysia, kita tak malu.
“Dulu, sebelum 2018, kita malu kalau Malaysia dikaitkan dengan negara yang terlalu teruk dengan rasuah. Sekarang ini Perdana Menteri dah buat yang terbaik untuk negara kita,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mencari titik persamaan berbanding menonjolkan perbezaan.
“Politik ini sangat dinamik - esok kita berkawan, lusa kita berlawan.
“Jadi bagi saya, kita hormati mandat rakyat. Satu penggal, kita habiskan satu penggal,” katanya.