YAYASAN Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran (YPPK) menyasarkan untuk mengesan dan mendaftarkan antara 3,000 hingga 4,000 bekas atlet Selangor menerusi inisiatif menjelajah sembilan daerah di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan mengenal pasti bekas atlet yang pernah mewakili Selangor, malah memastikan mereka terus mendapat perhatian dan akses kepada kemudahan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurutnya, program Legasi Atlet Selangor yang memasuki edisi ketiga tahun ini menjadi platform untuk menghimpunkan bekas atlet selain membuka ruang kepada mereka kembali menyumbang dalam arus perdana.
“Kita akan menjelajah sembilan daerah dan setiap daerah kita akan buka ruang pendaftaran untuk atlet-atlet Selangor.
“Kita tidak menjanjikan langit dan bintang, tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui media pada Program Legasi Atlet Selangor sempena Hari Malaysia ke-63 di Subang pada Sabtu.
Program tersebut turut menghimpunkan 17 legenda sukan negara sebagai tanda penghargaan, jasa, sumbangan serta pengorbanan mereka kepada Selangor dan Malaysia.
Noorul berkata, jumlah bekas atlet Selangor yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa dianggarkan antara 800 hingga 900 orang, manakala jumlahnya dijangka jauh lebih besar jika turut mengambil kira mereka yang beraksi di peringkat kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA).
Beliau berkata, YPPK juga mahu memperkenalkan semula tokoh sukan terdahulu kepada generasi muda kerana sebahagian daripada mereka semakin kurang dikenali walaupun pernah mengharumkan nama Selangor dan negara.
“Ramai daripada generasi Z tidak tahu siapa mereka. Kita mahu menonjolkan mereka supaya masyarakat, terutama golongan muda, mengenali bekas atlet yang pernah berjuang untuk negara,” katanya.
Katanya, edisi kali ini menghimpunkan 18 bekas atlet atau legenda sukan, berbanding hanya lima pada penganjuran terdahulu, dengan beberapa peserta turut diberi ruang mempamerkan hasil atau produk masing-masing kepada pengunjung.
Noorul berkata, YPPK turut melihat peluang berkenaan sebagai usaha membantu bekas atlet kembali ke arus perdana, termasuk menghubungkan mereka dengan kemudahan berkaitan kebajikan, perumahan dan perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian.
“Selangor ada banyak kemudahan yang boleh diberikan kepada rakyat. Jadi sebagai bekas atlet Selangor, kita akan cuba salurkan mereka untuk mendapatkan bantuan seperti rumah dan perubatan yang lebih cepat,” katanya.
Beliau menegaskan, penubuhan inisiatif itu bukan bertujuan bersaing dengan mana-mana pertubuhan yang menjaga kebajikan bekas atlet negara, sebaliknya mahu melengkapkan usaha sedia ada dengan memberi tumpuan khusus kepada bekas atlet Selangor.
“Kita tidak datang untuk bersaing. Lebih banyak, lebih meriah. Siapa yang mahu membantu, bantulah. Prinsip kita ialah mahu membantu bekas atlet,” katanya.