PEMAIN Perancis, Pauline Roussin-Bouchard memulakan kempen Maybank Championship 2026 dengan langkah kanan apabila mencatat lapan bawah par 64 pukulan untuk mengungguli pusingan pertama di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada Khamis.
Bekas pemain amatur nombor satu dunia itu mempamerkan aksi tanpa bogey dengan menghasilkan lapan birdie sekali gus menyamai catatan terbaik peribadinya bagi 18 lubang dalam Jelajah LPGA.
Roussin-Bouchard yang masih memburu gelaran sulung LPGA mengakui ketenangan menjadi kunci kepada persembahan mantapnya.
“Saya melakukan beberapa pukulan yang baik dan putting juga menjadi. Cabaran utama adalah untuk kekal tenang dan tidak terlalu memikirkan apa yang bakal berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, kelebihan satu pukulan itu belum cukup untuk memberikan keselesaan apabila juara bertahan dari Jepun, Miyu Yamashita dan pemain Amerika Syarikat, Sophia Schubert mengekori rapat selepas masing-masing mencatat tujuh bawah par 65 pukulan.
Yamashita turut memperlihatkan sentuhan berbisa di atas green apabila hanya memerlukan 24 putt sepanjang pusingan pembukaan.
Sementara itu, pemain negara, Liyana Durisic menceriakan kem Malaysia selepas menghasilkan lima birdie tanpa bogey untuk menamatkan pusingan pertama dengan catatan lima bawah par 67 pukulan.
Liyana yang meraih tiket menerusi kelayakan ASEAN itu turut mencatat pusingan terbaiknya sepanjang beraksi dalam Maybank Championship, sekali gus memperoleh suntikan keyakinan menjelang saingan LPGA Q-Series di Florida, Amerika Syarikat, minggu depan.
“Saya berharap prestasi minggu ini dapat meningkatkan keyakinan. Beberapa lagi pusingan yang baik pasti membantu persediaan saya,” katanya.
Pemain Thailand, Achiraya Sriwong turut menyerlah dengan empat bawah par 68 pukulan, termasuk satu chip-in eagle di lubang ke-16.
Empat lagi wakil negara, Genevieve Ling dan Natasha Andrea Oon masing-masing mencatat dua atas par 74 pukulan, diikuti Mirabel Ting dengan tiga atas par 75 serta Kelly Tan, empat atas par 76.