UMNO layak terajui penyatuan Melayu - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – UMNO disifatkan sebagai parti paling layak untuk menerajui agenda penyatuan Melayu berdasarkan rekod kesederhanaan, keadilan, keterangkuman, keindukan Melayu serta komitmennya terhadap kemajuan dan kemodenan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sejarah, sifat, watak dan keunikan UMNO memberikan kelebihan tersendiri untuk memimpin usaha penyatuan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sifat kesederhanaan telah menjadi teras perjuangan UMNO sejak penubuhannya dan menjadi faktor yang membezakan parti itu daripada parti-parti lain.

“UMNO bukan sahaja menjadi parti orang Melayu, tetapi turut mengiktiraf dan menerima kaum-kaum lain tanpa memaksa mereka meninggalkan identiti budaya masing-masing.

Iklan

“Ketika UMNO memerintah, hak dan keperluan bukan Melayu bukan sahaja dihormati malah dipelihara. Sekolah vernakular yang menggunakan bahasa ibunda kaum Cina dan India tidak ditutup, diganggu atau dinafikan.

“UMNO menerima kemajmukan, meraikan kemajmukan dan memimpin dalam kemajmukan melalui Barisan Nasional (BN),” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, pendekatan sederhana yang diamalkan UMNO selama ini membolehkan parti itu memainkan peranan sebagai jambatan antara pelbagai kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Bukan nilai UMNO untuk berlebih-lebihan. Bukan cara UMNO untuk melanggar batas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO turut menjadikan prinsip keadilan dan keterangkuman sebagai sebahagian daripada DNA perjuangannya.

Menurut beliau, parti itu memahami bahawa setiap kaum dan wilayah mempunyai cabaran yang berbeza, justeru pendekatan yang diambil perlu bersifat khusus serta memenuhi keperluan setiap kelompok masyarakat.

“UMNO tidak menawarkan satu penyelesaian untuk semua. Kita mengambil kira keperluan dan cabaran yang berbeza dihadapi oleh orang Melayu, Cina, India serta masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, bantuan ekonomi dan keusahawanan perlu disesuaikan mengikut realiti semasa bagi memastikan semua kaum berpeluang menikmati pembangunan negara secara adil.

“Dalam dunia perniagaan, masyarakat Cina mempunyai ekosistem yang lebih kukuh. Maka bantuan diberikan kepada orang Melayu dan India yang baharu memulakan perniagaan agar semua kaum dapat bersaing serta mengambil bahagian dalam pembangunan negara,” ujarnya.

Menyentuh soal keindukan Melayu, Mohamed Khaled berkata, UMNO sentiasa berusaha memahami aspirasi masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, parti itu tetap berpandukan Perlembagaan Persekutuan dalam mempertahankan hak-hak yang termaktub.

“Kita tidak berkompromi dan tidak bersikap apologetik dalam mempertahankan kepentingan Melayu serta kedudukan Islam.

“Dalam apa juga pakatan yang kita sertai sepanjang lapan tahun kebelakangan ini, UMNO tetap konsisten memperjuangkan keindukan Melayu dalam Malaysia yang majmuk,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO sejak dahulu menjadikan kemajuan dan kemodenan sebagai asas utama perjuangan politiknya.

Katanya, segala aspirasi berkaitan orang Melayu sentiasa dikaitkan dengan pembangunan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan kemajuan negara secara menyeluruh.

“Ia bukan sekadar laungan slogan atau cogan kata.

“Tawaran UMNO dalam mengemudi penyatuan Melayu bersandarkan pengalaman pemimpin-pemimpinnya, hubungan baik dengan pelbagai kaum serta bukti kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, gabungan empat kekuatan utama iaitu kesederhanaan, keadilan dan keterangkuman, keindukan Melayu serta agenda kemajuan negara meletakkan UMNO pada kedudukan yang unik untuk memimpin agenda penyatuan Melayu.

“Ringkasnya, keempat-empat kelebihan ini meletakkan UMNO pada kedudukan yang unik, bertanggungjawab dan layak untuk mengemudi penyatuan Melayu,” katanya.