Berhati-hati guna istilah 'membersihkan' - Mohd Yusoff

Iklan
Mohd Yusoff menyifatkan FAM bukan 'one man show', tetapi kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan. Foto : Agensi.

BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berpandangan bahawa usaha memperkukuh dan memperbaharui FAM perlu dilaksanakan secara berpasukan, bukannya dengan membina persepsi seolah-olah keseluruhan organisasi perlu ‘dibersihkan’ setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.

Mohd Yusoff menghormati pandangan dan gagasan semua pihak termasuk calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang akan bertanding pada kongres pemilihan FAM, namun baginya setiap cadangan pembaharuan perlu berlandaskan fakta, proses yang betul serta kepentingan jangka panjang bola sepak negara.

Iklan
Iklan

“Jika ada kelemahan dalam aspek tadbir urus, pengurusan atau struktur organisasi, sudah tentu ia perlu diperbaiki. Itu adalah tanggungjawab mana-mana barisan kepimpinan yang akan diberikan mandat kelak.

“Namun, kita juga perlu berhati-hati apabila menggunakan istilah seperti ‘membersihkan’ kerana ia boleh memberikan gambaran seolah-olah keseluruhan organisasi itu termasuk pegawai, kakitangan dan individu yang selama ini menjalankan tugas masing-masing, adalah bermasalah.

Iklan

“FAM adalah sebuah institusi yang mempunyai struktur, peraturan, jawatankuasa, pegawai dan kakitangan yang menjalankan fungsi masing-masing. Sebarang perubahan perlu dibuat berdasarkan penilaian yang objektif dan bukti, bukan semata-mata persepsi,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff, kepimpinan FAM tidak pernah dan tidak sepatutnya menjadi usaha seorang individu semata-mata kerana aspek pengurusan bola sepak moden memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Iklan

“FAM bukan ‘one-man show’. Presiden mempunyai peranan kepimpinan yang besar, tetapi kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan di sekelilingnya.

“Presiden, Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Setiausaha Agung, jawatankuasa-jawatankuasa, pegawai serta seluruh warga kerja FAM perlu memainkan peranan masing-masing.

“Begitu juga hubungan dengan ahli-ahli gabungan serta semua pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia. Tidak ada seorang individu yang mampu mengurus keseluruhan ekosistem bola sepak negara seorang diri,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses pembaharuan sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada agenda FAM dan tidak wajar dilihat seolah-olah ia hanya akan bermula selepas pemilihan kepimpinan baharu.

“FAM telah melalui beberapa proses penilaian dan pembaharuan, termasuk usaha memperkukuh struktur tadbir urus, statut, kod pemilihan serta aspek pengurusan organisasi.

“Jadi, kita perlu melihat proses ini sebagai kesinambungan. Mana-mana kepimpinan baharu boleh menambah baik perkara yang masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, tetapi pada masa sama perlu mengiktiraf perkara yang telah dilakukan dan sedang berjalan,” katanya.