[VIDEO] PAU 2026: UMNO Kelantan mohon maaf pernah gelar pemimpin Pas ‘tiga jahanam’

Iklan

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman secara terbuka memohon maaf kepada Pas kerana pernah menggelarkan pimpinan tertentu dalam parti itu sebagai ‘tiga jahanam’.

Permohonan itu dibuat beliau yang juga jurucakap Kelantan ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

“Pas, saya minta maaflah dahulu saya kata 'tiga jahanam'. Itu dulu.

"Sekarang, saya hulurkan tangan untuk berbaik sangka...untuk kita mengangkat agama kita dalam negara kita...untuk kita menyatukan bangsa kita tanpa kita menidakkan bangsa lain dalam negara kita.

Iklan

Zawawi yang dikenali lantang mengkritik pernah mengeluarkan kenyataan UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Pas selagi ada ‘tiga jahanam’ yang memimpin parti itu.

Tiga pemimpin yang dipetik itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Iklan

Zawawi mendakwa, ketiga-tiga pemimpin terbabit digelarkan begitu kerana dianggap ‘bermulut jahat.’

Mengulas lanjut mengenai tindakannya memohon maaf itu, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat susulan perkembangan semasa politik membabitkan kedua-dua parti berkenaan.

Dalam ucapan sama, beliau turut menegaskan UMNO tidak berniat untuk bermusuhan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun katanya, parti tidak senang dengan cara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang didakwa mengikut kata penasihat beliau.

“Kami tidak membenci kamu, tetapi kami melihat kamu telah banyak mendengar penasihat-penasihat di sekeliling kamu. Terlalu akur kepada kehendak DAP,” katanya.