POKOK SENA – Parti Amanah Negara (Amanah) mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan dan membawa UMNO serta Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Madani sekiranya beliau tidak lagi yakin terhadap dasar dan kepimpinan kerajaan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang ketidaksetujuan terhadap keputusan kerajaan sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya dijadikan bahan kritikan di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Letakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri, kemudian bawa UMNO dan BN keluar daripada Kerajaan Madani. Itu lebih jujur daripada kekal berada dalam kerajaan tetapi menyalahkan kerajaan apabila berucap di pentas luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, yang didakwa menyindir seorang pemimpin yang dikatakan enggan mendengar keluhan dan keresahan rakyat.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, Ahmad Zahid dilaporkan menggesa pemimpin terbabit menghentikan tindakan yang disifatkannya tidak membantu pembangunan negara.
Beliau turut menggunakan gelaran “guru” dalam ucapan tersebut, yang dipercayai merujuk kepada meme yang sedang tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, adalah tidak wajar bagi seseorang pemimpin yang berada dalam kerajaan dan terlibat dalam proses membuat keputusan tampil di pentas parti seolah-olah berada di pihak pembangkang.
“Ahmad Zahid berada dalam kerajaan, tetapi bercakap seperti pembangkang.
“Kritikan terhadap dasar kerajaan tidak salah jika bertujuan menambah baik kelemahan. Namun terdapat perbezaan antara kritikan membina oleh anggota Kabinet dengan serangan politik yang bertujuan meraih keuntungan daripada kelemahan kerajaan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya terdapat bantahan terhadap sesuatu dasar atau program kerajaan, perkara itu seharusnya dibincangkan menerusi saluran rasmi Kabinet.
“Kalau BUDI95 salah, bantah dalam Kabinet. Kalau ada dasar yang lebih baik, bawa ke Kabinet.
“Jangan di luar Kabinet, di atas pentas UMNO, Perdana Menteri dijadikan sasaran untuk mendapatkan tepukan atau diperolok-olokkan,” katanya.
Mahfuz turut menggunakan analogi sebuah kapal bagi menggambarkan situasi tersebut.
Katanya, seseorang pemimpin tidak seharusnya berada dalam kerajaan tetapi pada masa sama melemahkan kerajaan dari dalam sebelum menyalahkan Perdana Menteri sebagai ketua pentadbiran.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran terbaharu di Facebook dilihat membalas secara berseloroh penggunaan istilah “guru” yang dikaitkan dengan ucapan Ahmad Zahid.
Anwar yang berada di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18 menggunakan istilah berkenaan ketika mengemas kini misi diplomatik negara.
“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya.
“Semoga anak didik dapat belajar daripada Guru cara Diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy,” katanya menerusi hantaran tersebut.