LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan penyediaan jadual Liga Malaysia (Liga-M) 2026–2027 bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira tempoh rehat dan perjalanan minimum dua hari bagi pasukan, selepas pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon, mempersoalkan kepadatan jadual pertandingan.
MFL dalam kenyataan menjelaskan jadual musim ini turut disusun dengan mengambil kira komitmen kelab dalam pertandingan antarabangsa dan domestik serta kekangan penggunaan venue.
Menurut badan pengelola itu, semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan wakil kelab Liga-M sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dalam sesi Kick-Off Meeting bersama CEO MFL pada 14 Ogos, selain melalui pekeliling jadual bertarikh 21 Julai lalu.
MFL berkata, beberapa penyelarasan turut dilakukan selepas pengesahan undian dan jadual pertandingan Kejuaraan Kelab Asean, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) serta Piala FA.
“Pindaan turut dibuat berikutan faktor jerebu yang melanda negara dan Brunei baru-baru ini selain kekangan penggunaan venue bagi beberapa pasukan susulan penganjuran acara kerajaan dan komitmen lain,” menurut kenyataan itu.
Berhubung jadual Selangor FC yang menjadi persoalan Pan-gon, MFL menjelaskan aksi Liga Super menentang Melaka FC pada 30 Ogos lalu, jam 8.15 malam dan perlawanan Piala FA menentang Sabah FC pada 2 September, jam 9 malam mempunyai jarak dua hari antara kedua-dua perlawanan.
MFL bagaimanapun menegaskan tempoh rehat dan perjalanan minimum dua hari itu bukan hanya terpakai kepada Selangor FC, sebaliknya turut membabitkan 11 kelab lain yang bersaing pada musim ini.
Dalam masa sama, MFL berkata, berdasarkan jadual dikeluarkan, terdapat juga tempoh tertentu yang membolehkan kelab menikmati rehat lebih daripada dua hari ketika mengharungi saingan Liga-M, sama seperti yang dilaksanakan pada musim-musim terdahulu.
MFL mengakui memahami kebimbangan barisan jurulatih mengenai tahap kecergasan pemain serta kualiti permainan, namun penyediaan kalendar pertandingan perlu diseimbangkan dengan pelbagai komitmen di peringkat domestik dan antarabangsa.
Antara faktor utama yang diambil kira ialah Kalendar FIFA 2026–2027, Piala Asean 2026, ACLE, ACL2 dan Kejuaraan Kelab Asean, selain pergerakan logistik serta operasi video bantuan pengadil (VAR).
Pada masa sama, MFL perlu mengambil kira kerja-kerja menaik taraf beberapa venue, termasuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak; Stadium Negeri, Kuching; Stadium Bandaraya, Pulau Pinang; dan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Faktor tempoh rehat dan perjalanan kelab serta Hari Pelepasan Am Persekutuan dan Negeri 2026–2027 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan.
MFL menegaskan semua faktor berkenaan perlu diselaraskan dalam penyediaan satu kalendar pertandingan yang melibatkan banyak pasukan, venue dan komitmen berbeza.
Dalam pada itu, badan berkenaan berkata, aspek kebajikan pemain dan kualiti pertandingan tetap diberi perhatian, namun penyusunan jadual Liga-M memerlukan keseimbangan antara keperluan pasukan dengan keseluruhan kalendar bola sepak domestik dan antarabangsa.