KENINGAU - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian ibunya yang ditemukan mengalami kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian wanita berusia 56 tahun itu kira-kira jam 2 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat senjata tajam.
"Suspek kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa oleh penduduk kampung ke Balai Polis Tambunan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, sebaik tiba di pekarangan Balai Polis Tambunan, tangkapan rasmi terhadap suspek dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
"Pasukan penyiasat dan forensik telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.
"Mayat mangsa juga telah dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian," katanya.
Erwansyah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif serta kronologi penuh kejadian," katanya.