Nahas dua kenderaan: Identiti mangsa maut dikenal pasti

Iklan
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuantan-Maran di sini pada Jumaat.

KUANTAN - Identiti dua lelaki yang maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Masjid Paya Bungor, Gambang di sini pada Jumaat telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut terdiri pemandu kereta jenis Honda Civic, Muhammad Daniel Haiqal Abdullah, 17, beralamat dari Felda Sungai Retang, Jerantut dan penumpang, Mohd Sharul Sufriyanto, 40, dari Kampung Gelugor, Paya Bungor di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, lelaki berusia 41 tahun dilaporkan cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki.

"Kemalangan yang dilaporkan kira-kira jam 1.45 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika Toyota Hilux dipandu pengurus pengangkutan sebuah syarikat pertanian dalam perjalanan dari arah Sri Jaya, Maran menghala ke Paloh Hinai, Pekan.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Daniel Haiqal dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda terbabit.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya.

Iklan

Ashari berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.