PISA 2025: Antara potensi murid dan prestasi sistem pendidikan

Iklan
PISA 2025 yang diumumkan pada 8 September 2026 memberikan satu gambaran yang wajar diberi perhatian serius terhadap sistem pendidikan negara. - Gambar hiasan

KEPUTUSAN Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 yang diumumkan pada 8 September 2026 memberikan satu gambaran yang wajar diberi perhatian serius terhadap sistem pendidikan Malaysia.

Keputusan ini memperlihatkan satu paradoks: kita mempunyai murid yang menunjukkan potensi dalam penyelesaian masalah, guru yang memberikan sokongan tinggi, dan minat pembelajaran yang baik, namun pencapaian dalam literasi asas masih rendah, manakala Matematik pula menunjukkan kemerosotan.

Iklan
Iklan

Malaysia mencatatkan 419 mata dalam Literasi Sains, 393 mata dalam Literasi Membaca dan 397 mata dalam Literasi Matematik. Berbanding PISA 2022, Sains meningkat tiga mata dan Membaca meningkat lima mata, manakala Matematik merosot 11 mata.

Namun, peningkatan dalam Sains dan Membaca tersebut tidak signifikan secara statistik. Lebih membimbangkan, berbanding 2018, pencapaian Malaysia menurun dalam ketiga-tiga domain tersebut.

Iklan

Maka, PISA 2025 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kedudukan Malaysia dalam ranking antarabangsa. Sebaliknya, keputusan ini perlu dibaca sebagai diagnostik terhadap kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan kita.

Persoalan yang lebih penting ialah: Apakah yang ditunjukkan oleh petunjuk psikometrik ini tentang perkembangan kognitif murid, pedagogi bilik darjah dan kesaksamaan sistemik dalam pendidikan Malaysia?

Iklan

Matematik: Antara kelancaran prosedural dan pemindahan konsep

Penurunan 11 mata dalam Literasi Matematik merupakan isyarat yang tidak boleh dipandang ringan. PISA tidak sekadar menguji keupayaan murid mengingat formula atau melaksanakan prosedur matematik.

Literasi Matematik menuntut murid menggunakan pengetahuan matematik untuk memahami situasi sebenar, membina representasi matematik, membuat penaakulan dan memilih strategi penyelesaian yang sesuai. Di sinilah kita perlu menilai semula perbezaan antara kelancaran prosedural dengan pemindahan konsep.

Kelancaran prosedural penting. Murid perlu menguasai operasi, formula dan algoritma asas. Namun, penguasaan prosedur semata-mata tidak menjamin keupayaan untuk menggunakan pengetahuan tersebut dalam situasi yang baharu.

Apabila murid berhadapan dengan masalah dunia sebenar yang tidak mempunyai format soalan yang biasa, mereka perlu mentafsir maklumat, mengenal pasti pemboleh ubah, membuat andaian, membina model matematik dan menilai sama ada jawapan yang diperoleh munasabah.

Kemahiran ini memerlukan pemindahan kognitif, bukan sekadar hafalan. Oleh itu, kemerosotan Matematik tidak wajar ditafsirkan secara mudah sebagai murid Malaysia “tidak pandai Matematik”.

Sebaliknya, kita perlu bertanya sama ada pedagogi bilik darjah kita telah memberikan ruang yang mencukupi kepada murid untuk menaakul, meneroka, membuat kesilapan, memperbaiki strategi dan menyelesaikan masalah yang tidak rutin.

Paradoks penyelesaian masalah berkomputer

Menariknya, pada masa yang sama, PISA 2025 memberikan satu dapatan yang sangat penting. Murid Malaysia mencatatkan 484 mata dalam penyelesaian masalah berkomputer, berbanding purata OECD sebanyak 500 mata.

Lebih menarik, 82.6 peratus murid Malaysia menunjukkan prestasi penyelesaian masalah berkomputer yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan berdasarkan prestasi Sains mereka.

Dapatan ini perlu direnungkan. Jika murid kita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah dalam persekitaran digital, maka persoalannya bukan semata-mata tentang kapasiti intelek murid.

Kita perlu melihat bagaimana keupayaan tersebut dipupuk dalam keseluruhan pengalaman pembelajaran mereka. Dalam erti kata lain, anak-anak kita mempunyai potensi untuk berfikir dan menyelesaikan masalah.

Persoalannya ialah sama ada sistem pembelajaran kita menyediakan ruang yang mencukupi untuk potensi tersebut berkembang.

PISA 2025 juga menunjukkan bahawa murid Malaysia mempunyai kecenderungan yang positif terhadap pembelajaran. Sebanyak 80.9 peratus mengatakan mereka suka mempelajari perkara baharu di sekolah dan 84.3 peratus suka mengetahui bagaimana sesuatu perkara berfungsi.

Ini merupakan modal pembelajaran yang sangat penting. Namun, minat dan potensi perlu diterjemahkan melalui pedagogi yang sesuai. Murid perlu diberi peluang untuk berfikir, bukan sekadar menjawab; memahami, bukan sekadar menghafal; dan menggunakan pengetahuan, bukan sekadar mengulanginya.

Literasi Membaca: Asas kepada semua pembelajaran

Peningkatan lima mata dalam Literasi Membaca kepada 393 merupakan perkembangan positif, walaupun perubahan tersebut tidak signifikan secara statistik. Namun, pencapaian asas masih membimbangkan.

Hanya sekitar 44 peratus murid Malaysia mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam Literasi Membaca, berbanding 69 peratus secara purata OECD. Ini bermakna sebahagian besar murid masih belum mencapai tahap minimum kecekapan membaca yang diperlukan untuk memahami idea utama, mencari maklumat berdasarkan kriteria tertentu dan membuat refleksi asas terhadap teks.

Literasi Membaca bukan tanggungjawab guru bahasa semata-mata. Murid perlu membaca untuk memahami Matematik. Mereka perlu membaca untuk memahami Sains. Mereka perlu membaca untuk menilai maklumat, memahami arahan, membandingkan hujah dan membuat keputusan.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), kepentingan literasi membaca menjadi lebih besar. Murid bukan sahaja berhadapan dengan persoalan “apakah maklumat yang saya perlukan?” tetapi juga “adakah maklumat ini benar, tepat dan boleh dipercayai?” Justeru, literasi membaca perlu menjadi agenda seluruh sekolah dan merentas kurikulum.

Jurang Sosioekonomi: Purata nasional tidak menceritakan keseluruhan kisah

Satu lagi dimensi yang perlu diberi perhatian ialah kesaksamaan sistemik. PISA 2025 menunjukkan bahawa murid Malaysia daripada kumpulan sosioekonomi tertinggi mengatasi murid daripada kumpulan sosioekonomi terendah sebanyak 82 mata dalam Literasi Sains.

Status sosioekonomi menerangkan sekitar 16 peratus variasi pencapaian Sains murid Malaysia, berbanding 12 peratus secara purata OECD.

Angka ini menunjukkan bahawa latar belakang sosioekonomi masih mempunyai hubungan yang kuat dengan pencapaian pendidikan. Di sebalik purata nasional terdapat murid yang mempunyai akses berbeza kepada buku, teknologi, ruang belajar, sokongan keluarga, pengalaman pembelajaran dan sumber pendidikan.

Oleh itu, kejayaan sistem pendidikan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan pencapaian murid yang berada di kelompok teratas.

Kekuatan sebenar sistem pendidikan ialah sejauh mana sistem tersebut mampu mengangkat murid yang paling memerlukan sokongan. Dalam hal ini, intervensi pendidikan tidak boleh bersifat seragam.

Murid yang berbeza memerlukan sokongan yang berbeza. Inilah kepentingan penilaian diagnostik dan pengajaran berbeza dalam bilik darjah.

Jurang Gender: Jangan biarkan anak lelaki tercicir

PISA 2025 turut menunjukkan perbezaan prestasi mengikut jantina. Murid perempuan mengatasi murid lelaki sebanyak 22 mata dalam Literasi Membaca. Dalam Matematik pula, murid lelaki mendahului murid perempuan sebanyak enam mata. Bagi Sains, perbezaannya hanya satu mata dan tidak signifikan secara statistik.

Jurang Membaca ini wajar diberi perhatian. Perbincangan mengenai jantina dalam pendidikan tidak sepatutnya menjadi persoalan siapa lebih baik, lelaki atau perempuan. Sebaliknya, kita perlu memahami mengapa pengalaman pembelajaran yang sama menghasilkan respons dan pencapaian yang berbeza.

Pendekatan pendidikan yang baik bukanlah pendekatan yang memberikan layanan sama rata secara mekanikal, tetapi pendekatan yang memberikan sokongan yang sesuai berdasarkan keperluan murid.

Kekuatan Malaysia: Modal hubungan guru-murid

Di sebalik cabaran tersebut, PISA 2025 turut memperlihatkan satu kekuatan yang amat penting dalam sistem pendidikan Malaysia, iaitu hubungan guru-murid. Sebanyak 80 peratus murid Malaysia melaporkan bahawa dalam kebanyakan kelas Sains, guru menunjukkan minat terhadap pembelajaran setiap murid.

Sebanyak 87 peratus mengatakan guru meneruskan pengajaran sehingga murid memahami, manakala 86 peratus mengatakan guru memberikan bantuan tambahan apabila diperlukan. Semua angka ini lebih tinggi daripada purata OECD bagi indikator berkenaan.

Ini merupakan satu modal sosial yang tidak boleh dipandang ringan. Guru kita mempunyai hubungan yang positif dengan murid dan murid pula mempunyai kesediaan untuk mendapatkan bantuan.

Persoalannya, bagaimana modal hubungan ini dapat diterjemahkan kepada modal pembelajaran? Dedikasi guru sahaja tidak mencukupi sekiranya mereka tidak dilengkapi dengan alat diagnostik yang sesuai, latihan profesional berterusan, strategi pengajaran berbeza dan sokongan sistem yang membolehkan mereka memberikan intervensi berdasarkan keperluan murid. Guru tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan semua masalah pendidikan seorang diri.

AI: Alat memperkasa pembelajaran, bukan menggantikan pemikiran

PISA 2025 juga memberikan satu dimensi baharu yang tidak boleh kita abaikan, iaitu penggunaan AI. Sebanyak 56 peratus murid Malaysia melaporkan menggunakan chatbot AI untuk membantu pembelajaran sekurang-kurangnya sekali seminggu, berbanding 46 peratus purata OECD.

Mereka menggunakannya untuk membuat penyelidikan awal, meringkaskan teks dan membantu tugasan penulisan. Ini menunjukkan bahawa AI sudah menjadi sebahagian daripada realiti pembelajaran murid.

Persoalannya bukan lagi sama ada AI patut digunakan atau tidak. Persoalannya ialah bagaimana AI digunakan secara pedagogi yang bertanggungjawab.

Murid perlu diajar menilai ketepatan kandungan yang dijana AI, mengenal pasti bias, menyemak sumber dan menggunakan AI sebagai alat untuk mencetuskan pemikiran, bukan menggantikan pemikiran.

Dalam konteks ini, literasi digital perlu bergerak daripada sekadar kemahiran menggunakan teknologi kepada keupayaan menilai, menaakul dan membuat keputusan dalam persekitaran digital.

Apa Yang Perlu Kita Lakukan?

PISA 2025 memberikan beberapa implikasi penting kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Pertama, memperkukuh pedagogi berasaskan pemikiran.

Pengajaran Matematik dan Sains perlu memberikan ruang yang lebih besar kepada penaakulan, penyelesaian masalah, aplikasi dunia sebenar dan pemindahan konsep.

Kedua, memperkukuh numerasi dan literasi sejak peringkat awal. Jurang pembelajaran perlu dikenal pasti melalui penilaian diagnostik sebelum menjadi masalah yang lebih besar di sekolah menengah.

Ketiga, memperkasa pendidikan guru. Fakulti pendidikan di universiti perlu terus memperkukuh latihan dalam KBAT, penilaian diagnostik, penilaian formatif, pengajaran berbeza, pendidikan STEM dan literasi AI.

Keempat, memberi sokongan bersasar kepada murid dan sekolah yang memerlukan. Kesaksamaan tidak bermaksud semua sekolah menerima perkara yang sama. Kesaksamaan bermaksud sumber dan sokongan diberikan berdasarkan keperluan.

Kelima, memanfaatkan kekuatan hubungan guru-murid. Guru yang prihatin perlu diberikan sistem sokongan yang membolehkan keprihatinan tersebut diterjemahkan kepada intervensi pembelajaran yang berkesan.

Keenam, membina perkongsian sekolah-keluarga-komuniti. Pendidikan tidak boleh diserahkan kepada sekolah semata-mata. Keluarga perlu menjadi rakan strategik dalam membentuk budaya pembelajaran yang berterusan.

PISA bukan hukuman, tetapi cermin

Keputusan PISA 2025 tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyalahkan murid, guru, ibu bapa atau mana-mana pihak. Sebaliknya, PISA perlu digunakan sebagai cermin dan alat diagnostik. Cermin itu menunjukkan bahawa kita mempunyai kekuatan.

Murid kita mempunyai minat untuk belajar. Guru kita menunjukkan sokongan yang tinggi. Murid kita juga menunjukkan keupayaan yang baik dalam penyelesaian masalah berkomputer berbanding apa yang dijangkakan berdasarkan prestasi Sains mereka. Namun, cermin yang sama menunjukkan bahawa kita masih mempunyai pekerjaan yang besar untuk dilakukan.

Literasi Matematik merosot. Literasi Membaca masih rendah. Pencapaian keseluruhan masih jauh di bawah purata OECD. Jurang sosioekonomi masih wujud. Dan sebahagian besar murid masih belum mencapai tahap minimum kecekapan dalam ketiga-tiga domain utama.

Justeru, kita tidak perlu panik, tetapi kita juga tidak boleh berpuas hati. Jangan jadikan PISA sekadar pertandingan ranking. Jadikan PISA sebagai kompas untuk memperbaiki sistem pendidikan.

Kita tidak seharusnya hanya bertanya bagaimana untuk menaikkan skor Matematik, Sains atau Membaca. Kita perlu bertanya soalan yang lebih besar:

Adakah sistem pendidikan kita sedang membina generasi yang mampu berfikir, menaakul, menyelesaikan masalah, menilai maklumat dan terus belajar sepanjang hayat? Jika jawapannya belum sepenuhnya, maka PISA 2025 telah memberikan kita sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada ranking. Ia telah menunjukkan kepada kita di mana kita perlu bermula.

*** Penulis ialah Profesor di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM).