Ketua SPRM perlu dipilih Jawatankuasa Khas Parlimen, bukan lagi Perdana Menteri - INTRAS

Iklan
Mohamad Fauzi

SHAH ALAM - Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (INTRAS) menyarankan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, sebaliknya dipilih dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berdasarkan merit, integriti dan pengalaman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, calon tersebut kemudiannya dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk pelantikan.

"Dengan cara ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilihat sebagai 'orang PM' tetapi sebagai pemegang amanah negara dan bertindak mengikut Akta SPRM 2009.

Iklan

"Ia tidak lagi dipersepsi atau menjadi tohmahan masyarakat yang SPRM bertindak di bawah pengaruh atau 'tangan halus' Perdana Menteri.

"Kerajaan dan pembangkang mungkin berbeza dalam politik, tetapi mereka sepatutnya bersatu dalam satu perkara iaitu memastikan institusi antirasuah tidak menjadi senjata politik dan perisai kepada sesiapa," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau yang juga mantan Timbalan Pesuruhjaya SPRM memberitahu, ukuran Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan jumlah individu yang berjaya ditangkap.

Ujarnya, namun sejauh mana beliau berani menegakkan undang-undang apabila yang disiasat ialah orang yang paling berkuasa.

"Jika bersalah, ambil tindakan, jika tidak bersalah, bersihkan nama. Jangan kerana seseorang itu kerajaan, dia dilindungi.

"Jangan kerana seseorang itu pembangkang, dia diburu. Undang-undang mesti sama untuk semua.

"Akhirnya, SPRM bukan milik Perdana Menteri, milik kerajaan atau pembangkang tetapi adalah amanah kepada rakyat dan negara," ujarnya.

Mengulas lanjut beliu berkata, siapapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, prinsipnya mesti satu, iaitu telus, adil dan bebas daripada pengaruh politik.

"Jika SPRM perlu menyiasat menteri, ahli politik, penjawat awam kanan atau bahkan Perdana Menteri, rakyat mesti yakin bahawa Ketua SPRM tidak terikat kepada pihak yang berkuasa.

"Sebab itu, sudah tiba masanya mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikaji semula," katanya.