KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh peranannya dalam memacu hala tuju kesihatan serantau menerusi Agenda Strategik Kesihatan ASEAN (ASHA) 2026–2030 yang bakal menjadi pelan utama ASEAN bagi tempoh lima tahun akan datang.
Agenda itu menjadi antara tumpuan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan (AHMM ke-17) yang disasarkan menterjemahkan dasar kepada tindakan nyata demi kesejahteraan lebih 670 juta rakyat ASEAN.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia menerusi Kepengerusian Sektor Kesihatan ASEAN 2025–2026 memainkan peranan kepimpinan secara langsung dalam pembangunan ASHA 2026–2030.
Katanya, agenda itu bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya menjadi rangka rasmi untuk negara anggota ASEAN bergerak seiring menangani pelbagai cabaran kesihatan sepanjang lima tahun akan datang.
“Malaysia berperanan sebagai perantara yang menghubungkan kepakaran serantau dalam usaha memastikan sistem kesihatan seluruh ASEAN mempunyai daya tahan tinggi untuk masa hadapan dan bergerak seragam.
“Pendekatan inklusif juga penting supaya negara anggota yang mempunyai kapasiti perubatan lebih maju dapat berkongsi kemahiran teknikal, teknologi, data amaran awal serta latihan kepakaran dengan negara anggota lain,” katanya.
AHMM ke-17 telah diadakan di Kuala Lumpur bermula 7 hingga 11 September ini.
Diplomasi kesihatan
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, AHMM ke-17 menandakan fasa baharu diplomasi kesihatan negara yang beralih daripada penggubalan polisi kepada penterjemahan tindakan yang membawa hasil nyata.
“Perbincangan akan memberi fokus kepada pembinaan sistem kesihatan serantau yang saksama dan berdaya tahan bersama Rakan Dialog Antarabangsa serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Antara tumpuan strategik ialah pelancaran ASHA 2026–2030 sebagai pelan hala tuju utama kesihatan serantau serta pengukuhan kesiapsiagaan pandemik melalui pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu ASEAN (ACPHEED),” ujarnya.
KKM menjelaskan, kerjasama kesihatan ASEAN turut membawa manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk menerusi pertukaran data kesihatan merentas sempadan secara masa nyata bagi membolehkan langkah kawalan penyakit berjangkit dilaksanakan lebih awal di pintu masuk negara.
Menurutnya, penyelarasan standard keselamatan makanan pula membantu memastikan makanan import dan eksport memenuhi aspek kebersihan, kualiti serta keselamatan untuk pengguna.
“Kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa termasuk Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan China turut membuka ruang kepada perkongsian teknologi serta kepakaran yang boleh dimanfaatkan hospital dan klinik awam.
“Jepun misalnya mempunyai kepakaran dalam penjagaan kesihatan warga emas, manakala Korea Selatan dalam bidang kesihatan digital yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan,” kata KKM.
AHMM ke-17 yang berlangsung di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu hingga Jumaat ini menyaksikan Malaysia kembali menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan persidangan itu 22 tahun lalu pada 2004.
KKM berkata, membawa tema Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems, persidangan dwitahunan itu diterajui Malaysia selaku Pengerusi dengan Myanmar sebagai Naib Pengerusi.
“ASEAN turut merangka strategi bersepadu bagi menangani beban dwi-penyakit merangkumi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Dalam menghadapi cabaran itu, kesiapsiagaan terhadap pandemik dan penyakit berjangkit perlu bergerak seiring dengan saringan awal NCD termasuk diabetes, penyakit jantung dan kanser serta sokongan kesihatan mental,” jelasnya.
Ulasnya, pengalaman pandemik Covid-19 turut menunjukkan kepentingan hospital dan klinik mempunyai daya tahan supaya perkhidmatan kesihatan rutin dapat diteruskan ketika berlaku krisis.
AHMM ke-17 turut melakar sejarah menerusi penganjuran julung kali Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN–Amerika Syarikat dan ASEAN–Jepun.
Mesyuarat peringkat menteri bersama China, Republik Korea dan WHO turut diadakan bagi memperluas kerjasama teknikal serta pelaburan kesihatan serantau.
Kata KKM, kesemua inisiatif dan kerangka dasar yang dibincangkan mencerminkan komitmen Malaysia serta muafakat negara anggota ASEAN dalam memastikan perkhidmatan kesihatan awam kekal inklusif dan mampan.
“Resolusi persidangan ini disasarkan untuk diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan lebih 670 juta rakyat di rantau ASEAN,” katanya lagi.
Info Empat kluster ASHA 2026-2030
Gaya hidup sihat: Pencegahan NCD, kesihatan mental, penuaan sihat serta kawalan tembakau dan alkohol.
Kesiapsiagaan ancaman kesihatan: Menghadapi wabak penyakit berjangkit, pandemik dan kecemasan bencana.
Sistem kesihatan dan akses saksama: Perkhidmatan dan ubat-ubatan berkualiti, kesihatan digital, infrastruktur serta tenaga kerja kesihatan.
Keselamatan makanan: Memastikan bekalan makanan serantau bersih dan selamat menerusi penyelarasan standard serta pencegahan pencemaran.