TANJUNG MALIM - Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM15,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, mangsa berusia 66 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di Facebook sebelum berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, suspek menggunakan nama sebuah syarikat pelaburan bagi meyakinkan mangsa sebelum mengarahkannya membuat beberapa transaksi ke akaun bank yang diberikan.
"Bagaimanapun, wang tersebut tidak diterima dan mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan RM7,000 atas alasan perlindungan keselamatan bank," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa tidak meneruskan bayaran tersebut sebelum tampil membuat laporan polis.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang dipromosikan di media sosial atau secara bersemuka.
"Semakan perlu dibuat dengan agensi berkaitan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
"Orang ramai juga boleh menyemak nombor akaun melalui portal Semak Mule atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan," katanya.