KANPUR - Pihak berkuasa India berjaya membongkar komplot pembunuhan seorang ahli perniagaan di Uttar Pradesh.
Lebih mengejutkan, menantu perempuan mangsa, Shalu dipercayai menjadi dalang utama selepas didakwa mengupah bekas pekerja Vineet Minocha untuk melakukan perbuatan jenayah itu di kediamannya di kawasan Indira Nagar, Kanpur pada Sabtu lalu. Mangsa ditemui dengan kesan kelar pada lehernya.
Shalu yang pada awalnya menangis teresak-esak selepas kematian Minocha ditahan pada Selasa kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Siasatan awal mendapati pelaku mungkin tidak berpuas hati kerana bapa mentuanya sering memantau pergerakan Shalu melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman mereka.
"Selain itu, mangsa juga dipercayai terlalu mengawal perbelanjaan anak lelaki dan menantunya," ujar jurucakap polis.
Pada peringkat awal, polis menyangka pembunuhan itu dilakukan olehpihak luar. Namun, tiada wang tunai atau barang berharga dilaporkan hilang dari kediaman mangsa, menyebabkan penyiasat mula meneliti kemungkinan wujud konflik dalam keluarga.
Rakaman CCTV, rekod panggilan, mesej yang dipadam serta keterangan bekas pekerja Vineet kemudiannya membantu polis mengesan penglibatan Shalu. Bekas pekerja itu dipercayai melakukan pembunuhan bersama seorang lagi individu.
Siasatan terhadap bukti digital mendapati Shalu dan salah seorang suspek berhubung sebanyak 309 kali melalui mesej dan panggilan telefon termasuk panggilan WhatsApp sejak 1 Mei lalu hingga hari pembunuhan.
Polis turut menyiasat dakwaan bahawa Shalu bersetuju membayar 600,000 rupee (RM25,600) kepada bekas pekerja Vineet sebagai upah membunuh.
Daripada jumlah itu, 200,000 rupee (RM8,520) dijanjikan selepas pembunuhan dilakukan manakala bakinya akan dibayar kira-kira 15 hari kemudian. - Agensi