KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah institusi itu telah dibebaskan sekitar jam 3 petang pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Abdul Azeez juga dijangka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
“Saya baru dimaklumkan, beliau sudah dilepaskan jam 3 lebih tadi.
"Keadaan beliau baik dan sangat teruja untuk menghadiri PAU malam ini,” katanya.
Difahamkan Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Khas di Ibu Pejabat UMNO pada jam 8 malam.
Terdahulu, Abdul Azeez bersama dua bekas pegawai TH direman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000, 12 tahun lalu.