Keracunan program makanan Prabowo: Bakteria dikesan dalam sampel

Iklan
Jumlah mangsa keracunan inisiatif diperkenalkan Presiden Prabowo Subianto itu terus meningkat.

JAKARTA – Kes keracunan membabitkan ratusan pelajar selepas menikmati hidangan Program Makan Bergizi Gratis (MBG) di Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatera Utara, Indonesia kembali menjadi perhatian selepas hasil ujian makmal baru-baru ini mengesan tiga jenis bakteria dalam sampel makanan.

Keputusan ujian menunjukkan sampel nasi dari sebuah sekolah didapati positif mengandungi Bacillus cereus, manakala sampel ikan sardin bersama sos pula dicemari Staphylococcus aureus.

Iklan
Iklan

Sementara itu, buah melon didapati mengandungi E coli. Bakteria Staphylococcus aureus turut dikesan dalam spesimen muntah salah seorang mangsa.

Insiden keracunan itu berlaku selepas ratusan pelajar dilaporkan mengalami gejala seperti loya, muntah, pening dan lemah sebelum mendapatkan rawatan di beberapa fasiliti kesihatan.

Iklan

Penemuan bakteria berkenaan menimbulkan persoalan mengenai aspek kebersihan, pengendalian dan penyimpanan makanan yang disediakan program tersebut.

Kes berkenaan juga bukan satu-satunya insiden MBG dicemari bakteria.

Iklan

Di Semarang, Jawa Tengah, ujian terhadap sampel makanan dalam satu kejadian keracunan turut mengesan E coli, Staphylococcus dan Salmonella dalam beberapa jenis lauk.

Sementara itu, di Magelang, hasil ujian sampel makanan dan muntah pelajar yang jatuh sakit dilaporkan positif bakteria daripada kumpulan Staphylococcus.

Di Papua, Kementerian Kesihatan Indonesia pula mengesahkan penemuan E coli dalam beberapa sampel makanan berkaitan kes keracunan MBG.

Kes serupa turut dilaporkan di Bontang, Kalimantan Timur dengan pemeriksaan pihak kesihatan menemukan bakteria patogen dalam sampel makanan.

Rangkaian kes berkenaan menimbulkan persoalan mengenai aspek kebersihan, pengendalian, penyimpanan dan kawalan suhu makanan yang disediakan menerusi program MBG.

Bacillus cereus membiak dalam makanan yang disimpan pada suhu tidak sesuai manakala Staphylococcus aureus boleh mencemari makanan melalui pengendalian yang tidak bersih. Kehadiran E coli pula boleh menjadi petunjuk pencemaran dan sanitasi yang tidak sempurna.

Kejadian keracunan yang berulang di beberapa wilayah turut mencetuskan desakan supaya standard kebersihan dan penyediaan makanan diperketatkan bagi mengelak insiden sama berulang, malah sebahagian ibu bapa dilaporkan memilih untuk menolak hidangan MBG kerana bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka. - Agensi

Info

>Menurut data Kementerian Kesihatan Indonesia sehingga 2 September, sebanyak 50,059 orang jatuh sakit akibat kejadian keracunan berkaitan MBG sejak program itu dilancarkan pada Januari 2025.