DEPOK – Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra memberi peringatan kepada Singapura supaya tidak memandang rendah kemampuan negaranya mempertahankan kepentingan nasional.
Menurut laporan Metro TV pada Khamis, Yusril menegaskan Indonesia juga mampu mengambil tindakan sekiranya kepentingan negara itu tergugat.
“Kita juga ingin mengingatkan, jangan suka main-main dengan kita. Kita juga boleh melakukan sesuatu,” katanya ketika menghadiri sambutan Hari Sumpah Pemuda ke-98 di Universiti Indonesia, Depok, Jawa Barat.
Kenyataan itu dibuat ketika hubungan kedua-dua negara menjadi perhatian susulan keputusan Jakarta mengurangkan eksport gas asli ke Singapura bagi mengutamakan keperluan tenaga domestik.
Yusril turut menyentuh reaksi Singapura terhadap beberapa langkah kerajaan Indonesia sambil menegaskan negaranya masih mampu mengekalkan kestabilan bekalan tenaga, harga dan subsidi.
“Kita satu-satunya negara yang tidak mengalami kejutan tenaga. Harga kekal stabil, subsidi juga stabil. Sesekali kita perlu menunjukkan kekuatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk tindakan yang mungkin diambil Indonesia.
Ketegangan antara kedua-dua negara sebelum ini turut mendapat perhatian selepas bekas anggota Parlimen Singapura, Calvin Cheng memuat naik infografik mengenai kebergantungan Indonesia terhadap rangkaian internet antarabangsa melalui republik itu.
Menerusi hantaran di platform X pada Ahad lalu, Cheng mendakwa kira-kira 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia melalui Singapura.
Beliau turut menyertakan pertanyaan ringkas, “Potong?”, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial Indonesia.
Bagaimanapun, Cheng kemudian menjelaskan bahawa Singapura tidak akan mengambil tindakan memutuskan sambungan internet kerana menghormati undang-undang.
Kenyataan Cheng merupakan pandangan peribadi bekas anggota Parlimen itu dan bukan pengumuman dasar rasmi kerajaan Singapura.
Sebelum ini, Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli melalui saluran paip ke Singapura pada 24 Oktober lalu bagi memastikan bekalan mencukupi untuk penjanaan elektrik domestik.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia menjelaskan bahawa pengurangan berkenaan hanya sekitar lapan peratus daripada jumlah eksport gas melalui saluran paip dan masih mematuhi had minimum kontrak yang dipersetujui.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan keperluan penyelenggaraan kemudahan pengeluaran serta peningkatan permintaan tenaga dalam negara.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati komitmen dalam kontrak bekalan gas komersial.
Pihak berkuasa tenaga Singapura turut memaklumkan bahawa pengurangan bekalan dari Indonesia hanya mewakili kurang dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian republik itu.
Dalam pada itu, Yusril menegaskan kerajaan Indonesia tetap bersedia mendengar pandangan dan kritikan masyarakat bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran negara.
“Biarkan sahaja mereka bercakap apa-apa. Kita dengar dan mari kita perbaiki segala kekurangan yang ada pada bangsa dan negara kita,” katanya. - Agensi