'Mungkin empat hari lagi' - Keluarga Kapten Zainol Afiq tunggu keputusan DNA bawa pulang jenazah

Iklan
Keluarga nahas helikopter di Sarawak diberikan taklimat untuk proses membawa pulang jenazah. Foto ihsan Bee Sham

SEREMBAN - Keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, mungkin perlu menunggu sehingga empat hari lagi untuk mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum jenazah mangsa nahas helikopter itu dapat dibawa pulang ke Negeri Sembilan.

Bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, pihak keluarga dimaklumkan proses pengecaman DNA masih mengambil masa kerana sampel berkenaan belum dihantar ke Jabatan Kimia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses bedah siasat terhadap mangsa juga masih dijalankan.

"Semalam DNA saya dan isteri telah pun diambil. Tapi saya difahamkan yang ia masih belum dihantar, jadi proses itu kemungkinan ambil masa.

Iklan

Bee Sham berkata, segala urusan menghantar pulang jenazah akan diuruskan sama ada oleh pihak syarikat atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau pada masa sama memohon orang ramai terus mendoakan supaya segala urusan pengecaman dan penghantaran pulang jenazah dipermudahkan.

Iklan

Katanya, keluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan amat menghargai sokongan serta doa yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia sejak tragedi berkenaan berlaku.

"Pihak keluarga reda apa yang telah ditentukan oleh ALLAH dan terima walau apa pun keadaannya.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan ucapan dan doa, keluarga sangat menghargainya," katanya.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Selain Zainol Afiq, mangsa lain yang terkorban ialah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.