Gaduh, langgar hingga mati: Tiga lelaki sudah ditahan, empat lagi masih diburu

Iklan
Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Tiga daripada tujuh lelaki yang diburu polis untuk siasatan kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian di Jalan Mandolin 33/5 Taman Alam Megah di sini diberkas polis baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan di sekitar Shah Alam bermula 4 hingga 7 September.

Iklan
Iklan

"Polis telah peroleh arahan pertuduhan bagi ketiga-tiga suspek ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 149 Kanun Keseksaan.

"Ada baki lagi empat individu masih diburu dan pihak polis mengucapkan terima kasih di atas maklumat yang diterima daripada orang awam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.

Iklan

Kes berlaku kira-kira jam 2 petang, 25 Ogos itu menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 23 tahun.

Siasatan mendapati bahawa terdapat sekumpulan lelaki bergaduh sehingga berlaku tetakan di antara mereka selain sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bertindak melanggar salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.

Iklan

Dalam pada itu, berkenaan tiga lelaki yang turut diburu bagi kes pergaduhan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan objek menyerupai pistol di Batu 8, Sri Muda di sini, 13 Ogos lalu, Shazeli berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu.

Sebelum ini polis menyatakan giat mengesan 10 individu bagi membantu siasatan dua kes berasingan itu.

Polis menegaskan kedua-dua kes terbabit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, tapi tidak tolak kemungkinan melibatkan elemen kongsi gelap berkaitan perebutan kawasan dan salah faham.