BACHOK - Maklumat daripada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) membantu polis membongkar dan menjejaki anggota sindiket dadah, termasuk membawa kepada kejayaan beberapa operasi serbuan serta tangkapan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebahagian klien PUSPEN mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah susulan pengalaman mereka yang sudah lama terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang berkenaan.
"Perkongsian ini sudah lama berlaku. Ada perkongsian yang kami dapat sama ada melalui pegawai AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) atau pegawai polis sendiri yang masuk ke PUSPEN.
"Ada (maklumat) yang berjaya membantu kita menjejaki ahli-ahli sindiket yang berkaitan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau mengadakan Lawatan Strategik ke PUSPEN Bachok di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
Bagaimanapun menurut Hussein, pihaknya tidak dapat menentukan jumlah atau peratus kes yang berjaya diselesaikan hasil perkongsian maklumat berkenaan.
Ujar beliau, perkongsian maklumat berkenaan sudah lama dilaksanakan menerusi kerjasama antara polis dan AADK.
Dalam perkembangan berlainan, Hussein mendedahkan pihaknya mengambil masa berbulan-bulan untuk menjalankan risikan bagi memastikan keseluruhan rangkaian sindiket dadah termasuk lokasi makmal haram dapat dibongkar sebelum serbuan dilakukan.
Tegasnya, tindakan terlalu awal boleh menyebabkan polis hanya berjaya menahan seorang atau dua individu termasuk pengangkut, sedangkan kedudukan sebenar makmal dadah dan anggota sindiket lain masih belum dikenal pasti.
Menurut beliau, proses risikan dilakukan dengan menjejaki pergerakan bahan kimia atau prekursor yang dikesan memasuki negara termasuk dari Pelabuhan Klang sebelum mengenal pasti lokasi transit, individu terlibat serta kegiatan yang dijalankan.
"Kadang-kadang mengambil masa berbulan sehingga kita pasti apa yang mereka lakukan itu adalah makmal dadah haram dan individu-individu yang terlibat.
"Barulah sampai masa kita akan buat serbuan dan juga tangkapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan JSJN Bukit Aman membongkar sindiket memproses dadah yang menjadikan sebuah premis di kawasan perindustrian di Bandar Puncak Alam sebagai makmal.
Operasi dikenali sebagai Op Eumenes itu dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama kira-kira tiga hingga empat bulan.
Lebih mengejutkan, serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.4 bilion, yang disifatkan sebagai rampasan terbesar dalam tempoh beberapa tahun.
Hussein memberitahu, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan operasi tidak dilakukan secara pramatang sehingga memberi peluang kepada pihak berkuasa membongkar keseluruhan struktur sindiket.
"Kalau kita buat lebih awal daripada itu, macam premature, kita cuma akan dapat satu dua orang ataupun pengangkutnya dan kita mungkin tidak dapat bongkar kedudukan makmal dadah haram yang sebenarnya.
"Jadi kadang-kadang tindakan itu boleh dikatakan lambat, tetapi inilah prosesnya," katanya.
Dalam pada itu, Hussein memberitahu, risikan turut mengambil kira faktor keselamatan sebelum serbuan dilaksanakan terutama apabila operasi membabitkan kawasan perindustrian yang luas dan berpotensi digunakan sebagai makmal dadah haram.
"Kita kena ikut orang, lokasi sebab kawasan industrial terlalu luas dan bukan mudah kita nak tahu pusat industri mana yang dibuat sebagai makmal dadah haram.
"Kita juga kena melihat risiko keselamatan dari segi bahaya dan kekuatan sindiket. Adakah mereka mempunyai senjata dan sebagainya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sewaktu serbuan," katanya.