KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ada pihak memaksanya untuk menandatangani proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pertemuan itu dijangka berlangsung ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Beliau pastinya akan bertemu dengan saya ketika perhimpunan agung ini dan penjelasan akan dibuat oleh beliau.
"Saya akan bertanya latar belakang mengenai penyertaan Ismail dalam perkara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita pada PAU di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Sebelum ini, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail berkata, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Ahmad Zahid berkata, pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tempoh PAU tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa beliau tidak jelas mengenai perkara tersebut kerana tidak berada dalam majlis ataupun ketika tandatangan itu dilakukan.
“Beliau telah menafikan bahawa saya terlibat ataupun berada ketika tandatangan proklamasi berkenaan.
"Jadi, saya telah menyatakan semalam bahawa kita serahkan kepada yang menyediakan dokumen berkenaan dan yang menyaksikan serta menyimpan dokumen itu untuk membuat kenyataan,” katanya.