KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal menegaskan keputusan untuk memulakan langkah gelombang penyatuan dengan Pas bukan bagi mencari cinta politik.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan tersebut diambil demi masa depan Melayu dan Islam.
“Kita tidak perlu memadam sejarah, tetapi jangan pula menjadi tawanan sejarah. UMNO kekal sebagai UMNO dan Pas kekal sebagai Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Muhamad Akmal menambah, kehadiran Afnan Hamimi sebagai pemimpin pemuda pertama daripada parti di luar Barisan Nasional (BN) sebagai tetamu perhimpunan sayap itu juga membuktikan langkah permulaan untuk gelombang penyatuan lebih besar.
Beliau berkata, penyatuan antara kedua- dua parti dalam usaha untuk mewujudkan gelombang penyatuan Islam dan Melayu lebih besar itu tidak sesekali menghakis identiti mana-mana parti.
“Penyatuan yang matang tidak menuntut kita membuang identiti. Ia menuntut kita mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Akmal turut menggesa pemimpin serta ahli Pas dan UMNO melupakan luka lama ketika kedua-dua parti berkenaan menjadi seteru politik.
“Saya tahu ada hati yang masih terluka. Orang UMNO pernah kecewa dengan Pas. Orang Pas juga pernah kecewa dengan UMNO.
“Ada kata-kata yang masih pedih, keputusan yang masih dipersoalkan dan kisah lama yang masih sukar dilupakan,” katanya.
Beliau menambah, jika kedua-dua pihak terus menghitung siapa paling banyak melukakan dan perlu terlebih dahulu meminta maaf ia hanya mendatangkan kerugian.
Ujarnya, kesan daripada perpecahan dan sengketa itu akhirnya akan ditanggung generasi akan datang.