BANGI - Kerenah birokrasi dalam pengurusan pembiayaan latihan kemahiran dikhuatiri menjejaskan minat golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk daripada kelompok B40 dan miskin tegar untuk mengikuti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Pengasas Persekutuan Pusat-pusat Latihan Kemahiran Swasta Malaysia (FeMAC), Nordin Abdul Malek berkata, isu pembiayaan bukan sahaja membabitkan keperluan meningkatkan jumlah dana, malah pengurusan perlu diperkemas bagi mengurangkan kerenah birokrasi.
Menurutnya, masalah itu boleh memberi kesan kepada golongan yang sepatutnya mendapat manfaat daripada kemudahan pembiayaan berkenaan.
"Kita berhadapan dengan isu pendanaan TVET bukan sahaja dari segi volumenya perlu dipertingkatkan, tetapi juga dari segi pengurusan dan mengurangkan birokrasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Khas 'Mengimbau Sejarah Perjuangan Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PLKS) Mengharungi Cabaran Demi TVET Negara: Kejayaan, Keresahan dan Harapan Menuju Masa Depan' di sini pada Khamis.
Nordin memberitahu, majoriti peserta yang mengikuti program latihan itu terdiri daripada golongan B40 dan miskin tegar memerlukan sokongan pembiayaan mencukupi bagi meneruskan pengajian.
Beliau menjelaskan, masalah pembiayaan seperti tidak mendapat dana, jumlah tidak mencukupi atau kesukaran membayar kos asrama boleh menyebabkan sebahagian pelatih berputus asa.
"Apabila berlaku masalah birokrasi, ia sama ada mengganggu proses peningkatan jumlah pelajar atau lebih malang menyebabkan sebahagian yang sepatutnya mengikuti program ini berputus asa.
Nordin memberitahu, kerjasama lebih rapat antara pemain industri dan kerajaan perlu diwujudkan semula bagi memastikan pembangunan TVET negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, penglibatan pemain industri dalam perancangan dan pelaksanaan dasar berkaitan TVET penting kerana pihak swasta mempunyai pengalaman serta keupayaan untuk melengkapi sistem kerajaan.
"Pada masa lalu, kita banyak mengukuhkan dan menambah baik TVET negara dalam tempoh 20 tahun hasil perundingan dan kerjasama termasuk meletakkan wakil persatuan dalam perancangan serta pelaksanaan dasar kerajaan.
"Contohnya, dahulu kita duduk dalam Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), namun sekarang sudah tiada.
"Begitu juga dalam Majlis TVET Negara, kami juga tidak dilantik," ujar beliau.
Menurutnya, FeMAC kini mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta dengan kira-kira 30,000 pelajar aktif.
Beliau berkata, penglibatan pemain industri perlu disusun semula supaya kepakaran sektor swasta dapat membantu kerajaan mempercepatkan pencapaian dalam bidang TVET.
"Kami bukan mengambil alih peranan kerajaan, sebaliknya melengkapi sistem kerajaan," ujar beliau.
Nordin berkata, jumlah pelajar yang mengikuti kursus di institusi latihan kemahiran swasta ketika ini menunjukkan trend peningkatan.
Bagaimanapun katanya, masalah birokrasi boleh mengganggu momentum berkenaan dan menyebabkan jumlah pelajar tidak meningkat secara konsisten.
Beliau turut mengingatkan supaya dasar berkaitan TVET tidak diubah secara mendadak kerana pendidikan memerlukan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Pendidikan memerlukan pengurusan yang bersifat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
"Sebarang perubahan secara ad hoc akan memberi kesan buruk yang besar kepada sistem itu sendiri dan pihak berkepentingan," tegas beliau.
Sementara itu, Presiden pertama FeMAC, Datuk Dr Muhamad Nasir Hamzah berkata, persepsi TVET adalah pilihan kedua berbanding aliran akademik juga semakin berkurangan.
Menurutnya, perubahan persepsi itu perlu disusuli dengan usaha memastikan setiap lepasan sekolah mendapat kemahiran yang membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi negara.
"Negara kita penduduknya tidak ramai sekitar 32 juta orang, maka kita mahu setiap lepasan sekolah menyumbang dan mempunyai kemahiran tinggi.
"Kalau kita tidak melatih mereka kerana masalah ketetapan, birokrasi atau pendanaan, kita sebenarnya mengalami kerugian besar," ujar beliau.
Beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berkata, PLKS mampu melatih sekurang-kurangnya 20,000 pelatih setiap tahun, malah jumlah itu ada kalanya mencecah sehingga 30,000 individu.
Katanya, golongan lepasan sekolah termasuk pelajar tahfiz yang tidak meneruskan laluan akademik konvensional juga perlu diberi peluang mendapatkan kemahiran bagi memastikan mereka dapat menyumbang kepada negara.
"Kalau tidak mendapat kemahiran, pelajar tahfiz ini akan tercicir sedangkan sebenarnya boleh menyumbang kepada ekonomi negara," jelas beliau.
Muhamad Nasir menjelaskan, pelaburan dalam latihan kemahiran perlu dilihat sebagai satu bentuk pembiayaan yang boleh memberi pulangan kepada negara, bukannya sekadar bantuan atau geran.
Menurutnya, berdasarkan cadangan yang pernah dikemukakan kepada kerajaan, peruntukan khusus bagi pembiayaan lepasan sekolah sepatutnya berada pada lingkungan RM800 juta hingga RM1 bilion setahun.
Beliau berkata, tempoh bayaran balik pinjaman antara lima hingga lapan tahun juga membolehkan dana itu dikitar semula untuk membiayai kumpulan pelatih seterusnya.
"Ini bukan duit percuma kerana ia pinjaman dan akan dibayar semula. Jadi duit itu boleh digerakkan dan digunakan untuk pelatih seterusnya.
"Kalau kita belanja kepada perkara lain, duit itu tidak kembali. Sebaliknya, melalui pembiayaan kemahiran, dana boleh berpusing," katanya.