KUALA LUMPUR - Seramai 12 orang saksi direkod keterangan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan dan bersenjata membabitkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kediaman mewah di Jalan Ampang di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan turut merangkumi sebarang kemungkinan atau elemen penglibatan 'orang dalam' mahu pun bersubahat, memandangkan kondominium berkenaan mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.
"Semasa kejadian berlaku, pengadu berada di dalam rumah berkenaan bersama lapan orang mangsa yang lain.
"Setakat ini, rakaman percakapan telah diambil daripada 12 saksi manakala perkembangan lain berhubung kes ini masih dalam siasatan polis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan serta bersenjatakan pisau yang menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy pada 7 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 hingga 3 petang itu, kumpulan suspek melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM2.91 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa warga China berusia 28 tahun.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.