SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Media Malaysia (MMM) mengkaji cadangan penubuhan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) bagi penerbit berita yang berpotensi mewujudkan mekanisme lebih tersusun dalam industri media negara bagi tujuan urusan pelesenan hak cipta.
Pengerusinya, Tan Sri Nallini Pathmanathan berkata, ia dilihat mampu mengisi jurang yang semakin ketara susulan perkembangan kaedah berita ditemui, diedarkan dan digunakan menerusi enjin carian, media sosial, pengagregat digital serta pelbagai perkhidmatan dalam talian lain.
Menurut beliau, perlindungan hak cipta kini semakin penting bagi memastikan kelangsungan kewartawanan dalam negara untuk jangka panjang.
"Objektif kami adalah untuk memastikan pihak yang melabur dalam penghasilan karya kewartawanan asli mempunyai mekanisme sewajarnya untuk melindungi hasil kerja mereka serta mengambil bahagian secara adil dalam nilai yang dihasilkannya.
“Inisiatif itu mengambil kira perubahan pesat dalam persekitaran media apabila berita kini semakin banyak ditemui, diedarkan dan digunakan melalui enjin carian, media sosial, agregator digital serta pelbagai perkhidmatan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) bagi mengkaji cadangan penubuhan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) untuk penerbit berita.
“TAC turut dianggotai wakil organisasi berita nasional dan serantau utama, media digital serta pakar perundangan dan harta intelek. Jawatankuasa ini diberi tempoh enam bulan untuk membangunkan kerangka pelaksanaan bagi cadangan CMO Penerbit Berita.
“Antara perkara yang akan diteliti termasuk struktur tadbir urus, laluan serta keperluan kawal selia yang bersesuaian, selain mengadakan libat urus dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” jelasnya.
Ujar beliau, TAC turut akan menilai model pelesenan komersial yang berpotensi serta meneliti kaedah bagi memastikan CMO dapat beroperasi secara mampan, termasuk mekanisme sesuai untuk mengutip dan mengagihkan imbuhan yang diperoleh daripada penggunaan kandungan berita berlesen.
“Kerja jawatankuasa itu akan berakhir dengan pengemukaan cadangan serta kerangka untuk pertimbangan MMM dan pihak berkepentingan berkaitan,” katanya.
Tambah Nallini, teknologi baharu mewujudkan kaedah baharu untuk mengakses dan menggunakan kandungan kewartawanan, sekali gus menimbulkan persoalan penting mengenai kaedah penerbit mengurus dan melindungi hak cipta mereka secara berkesan.
“Bagi penerbit berita, isu berkenaan bukan lagi sekadar kes pelanggaran hak cipta secara individu, sebaliknya semakin berkait dengan keperluan industri mempunyai mekanisme berkesan untuk melindungi nilai kewartawanan asli serta memastikan penerbit mampu meneruskan pelaburan bagi menghasilkan berita yang dipercayai dan berkualiti.
“Dalam landskap media digital ketika ini, kandungan berita semakin mudah ditemui, dikongsi dan digunakan merentasi pelbagai platform. Pada masa sama, penerbit terus menanggung kos penghasilan kandungan termasuk membabitkan wartawan, editor, teknologi, masa dan sumber,” ujar Nallini.
Keadaan itu katanya, menjadikan persoalan mengenai hak cipta semakin penting kepada industri media, khususnya apabila karya kewartawanan boleh diterbitkan semula, diedarkan dan digunakan dalam pelbagai saluran dengan pantas.
Justeru, mekanisme kolektif dilihat berpotensi membantu penerbit mengurus hak serta urusan pelesenan secara lebih tersusun, selain memastikan penggunaan kandungan berita secara sah dapat memberi pulangan sewajarnya kepada pemegang hak.
Sementara itu, Zamri berkata, inisiatif berkenaan mengiktiraf pelaburan besar yang diperlukan untuk menghasilkan kewartawanan yang dipercayai dan asli.
“Setiap berita mewakili satu pelaburan yang melibatkan wartawan, editor, teknologi, masa dan sumber. Dalam persekitaran digital hari ini, karya kewartawanan boleh diterbitkan semula, diedarkan dan digunakan semula merentasi pelbagai saluran dengan begitu pantas.
“Kita perlu mencari kaedah praktikal untuk penerbit berita melindungi nilai hasil kerja itu, pada masa sama memastikan penggunaan kandungan berita yang sah dapat diteruskan,” jelasnya.