BALIK PULAU- Tiga lelaki dan seorang wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak SGD1 juta (RM3.1 juta) pada Julai lalu.
Liu Ting Jun, 46, Guan Siqi, 24, Huang Jian, 39 dan Wang Hao Yu, 32 didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua individu yang masih bebas dan dua lagi yang telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan niat menculik dan melarikan secara salah seorang lelaki warga Singapura, Quek Aik Teng, menggunakan nombor pasport K5856937Z.
Perbuatan itu didakwa berlaku pada 26 Julai lalu, kira-kira jam 4.15 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dikenakan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly manakala Guan Siqi, Huang Jian dan Wang Hao Yu diwakili Azizul Hilmi Zulkifli sementara Liu Ting Jun diwaklili Edward Ng.
Ikmal tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh.
Sementara itu, Edward dalam rayuannya berkata, pihaknya sedar pertuduhan yang dikenakan adalah serius namun memohon pihak mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan diberikan.
"Anak guam saya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang penahanannya. Selain itu, anak guam saya juga mempunyai saudara jauh yang berkahwin dengan warga Malaysia dan bekerja di sini ketika ini.
"Saudaranya itu mampu untuk menjadi penjamin kepada tertuduh selain tertuduh tidak mempunyai rekod lampau," katanya.
Dalam pada itu, Azizul yang mewakili tiga lagi tertuduh turut memohon agar mahkamah memberikan jaminan terhadap ketiga-tiga anak guamnya.
"Pihak pembelaan sedar pertuduhan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 merupakan pertuduhan serius. Namun begitu, saya mohon agar mahkamah mempertimbangkan dan menggunakan budi bicara mahkamah selain melihat kepada keadaan peribadi tertuduh.
"Semua tertuduh juga bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis secara berkala dan untuk tidak menghubungi mana-mana saksi atau mangsa pendakwaan.
"Mereka bersedia untuk mematuhi apa-apa syarat tambahan jika diberikan oleh mahkamah yang mulia ini. Oleh itu, kami mohon agar Tuan Hakim dapat menggunakan budi bicara mahkamah untuk membenarkan tertuduh diikat jamin pada jumlah yang sesuai," katanya.
Pihak pendakwaan kemudiannya memohon agar mahkamah tidak memberi jaminan kerana kesalahan di bawah seksyen tersebut adalah kesalahan serius dan berkepentingan awam.
"Oleh demikian, saya memohon agar mahkamah menolak permohonan jaminan daripada pihak pembelaan.
"Di peringkat pendakwaan, semakan ke atas pasport sedang dilakukan dan masih lagi tiada pengesahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Jadi, saya mohon permohonan ini ditolak, Tuan Hakim," katanya.
Ahzal kemudiannya menerima hujahan kedua-dua pihak dan berpuas hati.
Beliau kemudiannya menolak permohonan jaminan.
Kes ditangguh sehingga 15 Oktober untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan polis menembak mati dua warga asing di Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.
Suspek merupakan ahli sindiket penculikan yang menyasarkan warga asing dengan memperdaya mereka melalui tawaran kerja, percutian selepas berkenalan menggunakan aplikasi temu janji dan media sosial.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita terbabit dalam penculikan di rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku 8.40 malam Sabtu lalu apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat pada 6 Ogos lalu oleh wanita warga Singapura, 73 yang mendakwa adiknya, 72 diculik di Malaysia.