Malaysia kecam gesaan Israel pindah paksa rakyat Palestin dari Gaza

Iklan
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan misi membawa pulang kesemua lapan anak kapal warga Malaysia selesai.

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya gesaan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis turut mengecam tindakan keganasan yang kejam terhadap rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Iklan
Iklan

“Malaysia menolak sebarang cubaan untuk memindahkan secara paksa atau menempatkan semula rakyat Palestin dari tanah air mereka,” menurut kenyataan itu.

Tegas Wisma Putra, pembunuhan, ugutan, pemusnahan harta benda dan pemindahan secara paksa rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel secara sewenang-wenangnya merupakan tindakan keji yang mencabuli secara serius undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Iklan

“Tindakan sedemikian terus mengukuhkan pendudukan, memperluas penempatan haram Zionis secara sistematik serta merampas tanah milik rakyat Palestin,” jelas kementerian.

Isu pemindahan penduduk Gaza kembali menjadi perhatian susulan cadangan dan kenyataan beberapa pemimpin Israel berhubung penghijrahan rakyat Palestin dari wilayah berkenaan.

Iklan

Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir dilaporkan mengemukakan pelan penghijrahan yang disifatkan sebagai “secara sukarela”, termasuk sasaran mengeluarkan kira-kira 250,000 rakyat Palestin dari Gaza pada tahun pertama.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula dilaporkan menyatakan bahawa penyelesaian jangka panjang untuk Gaza tidak boleh dicapai tanpa penghijrahan rakyat Palestin, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kemungkinan pemindahan penduduk secara besar-besaran.

Bagaimanapun, Menteri Luar Israel, Gideon Sa'ar pada Rabu menegaskan kerajaan Israel tidak mempunyai rancangan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza secara paksa dan mendakwa sebarang penghijrahan perlu berlaku secara sukarela serta dengan persetujuan negara yang menerima mereka.

Wisma Putra menegaskan bahawa Semenanjung Gaza adalah sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan Malaysia menolak sebarang usaha untuk mengubah struktur demografi atau geografinya.

“Malaysia juga menolak usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki melalui peluasan penempatan dan keganasan pendatang haram,” katanya.

Malaysia turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pencabulan berkenaan.

Menurut Wisma Putra, tindakan itu perlu bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan serta melindungi rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk terus kekal di tanah mereka serta menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Malaysia menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk terus kekal di tanah mereka dan untuk menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” ujar Wisma Putra.