Arteta tabik Odegaard

Iklan
Odegaard memacu kemenangan Arsenal ketika mengalahkan Napoli 1-0 dalam saingan Eropah di Naples pada Khamis. Foto: AFP

KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard, sekali lagi muncul sebagai wira apabila jaringannya membantu The Gunners menewaskan Napoli 1-0 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis.

Kemenangan di Stadium Diego Armando Maradona itu hadir menerusi rembatan kencang Odegaard pada minit ke-75, sekali gus membuka kempen Arsenal dengan tiga mata.

Iklan
Iklan

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, bagaimanapun menyifatkan keputusan itu tidak menggambarkan persembahan luar biasa anak buahnya yang menghasilkan 26 percubaan, rekod kelab bagi aksi tempat lawan dalam pertandingan berkenaan.

Odegaard memulakan musim 2026-27 dengan produktiviti mengagumkan apabila meledak empat gol dalam lima perlawanan, termasuk jaringan kemenangan ke atas Chelsea dan Napoli.

Iklan

Arteta berkata, peningkatan prestasi pemain berusia 27 tahun itu turut dipengaruhi tahap kecergasan selepas musim lalu banyak terlepas perlawanan akibat kecederaan.

"Dia kini boleh beraksi di beberapa posisi berbeza, terutama ketika menyerang. Apabila kami membawanya ke posisi itu, dia adalah pemain yang sangat berbahaya," kata Arteta.

Iklan

Menurutnya, sikap Odegaard yang terus mencipta peluang dan berani mengambil risiko menjadikannya pemain penting untuk menentukan keputusan perlawanan, selain keyakinannya kini berada pada tahap tinggi.

"Saya sangat gembira dengan cara kami menyerang sejak minit pertama. Jumlah peluang yang kami hasilkan sepatutnya memberikan keputusan yang sangat berbeza," katanya.