Kahwini lelaki tua kejar bahagia atau poket tebal?

Iklan
Rekod DOSM menunjukkan pengantin lelaki paling tua berusia 91 tahun, manakala pengantin perempuan paling senior berumur 86 tahun.

BERCAKAP pasal cinta, ia selalunya datang tanpa dipaksa dan kadang-kadang menerpa pada waktu yang langsung tidak kita duga.

Namun, apabila seorang wanita muda memilih lelaki yang jauh lebih berusia sebagai pelindung dan teman berteduh, cerita indah itu selalunya sukar diterimanya secara 'kosong' oleh masyarakat sekeliling.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini 'riuh' alam maya dengan berita pernikahan otai bola sepak berusia 72 tahun yang bertemu jodoh dengan gadis berumur 20 tahun.

Belum pun sempat pasangan itu menikmati fasa bahagia selepas melangkah ke alam rumah tangga, sudah ada mata-mata nakal yang memandang serong.

Iklan

Di ruang sembang dan media sosial, tuduhan serta andaian mula bertebaran tanpa henti.

“Mesti sebab lelaki itu kaya raya.”

Iklan

“Kalau bukan mengejar harta, mesti sebab gilakan pangkat.”

Lebih tidak manis, ada pula yang tergamak melontarkan gurauan kasar dan usikan biadab apabila mula mempersoalkan 'kemampuan' serta tenaga si suami di ranjang.

Seolah-olah umur yang lanjut itu secara automatik menjadi tiket untuk orang luar menceroboh dan menjajakan hal paling peribadi sesebuah perkahwinan.

Realitinya, persoalan itu kerap timbul kerana masyarakat kita sudah sebati dengan skrip lama.

Wanita muda kerap dihakimi dan dituduh mempunyai agenda tersembunyi, manakala lelaki berusia pula dipandang serong seakan-akan tidak layak lagi mengenali rasa cinta.

Sedangkan jika dipetik statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2023, perkahwinan dengan jurang umur ketara bukanlah satu perkara pelik.

Rekod menunjukkan pengantin lelaki paling tua berusia 91 tahun, manakala pengantin perempuan paling senior berumur 86 tahun.

Dalam tempoh sama, sekitar 0.1 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun ke atas direkodkan berkahwin dengan wanita muda berumur 24 tahun dan ke bawah.

Angka itu mungkin kelihatan kecil di atas kertas, tetapi ia membuktikan perkahwinan berbeza generasi adalah satu kenyataan hidup yang benar-benar wujud.

Sayangnya, fokus ramai orang lebih tertumpu kepada angka pada kad pengenalan berbanding perkara asas yang mempertahankan sesebuah ikatan seperti keserasian, ketaatan dan kasih sayang.

Memang tidak dinafikan ada hubungan dibina atas dasar kedudukan atau kebendaan.

Namun, adakah sukar untuk kita menerima hakikat bahawa seorang wanita muda mungkin menemui sifat kepimpinan, kematangan dan rasa selamat yang tidak diperoleh daripada lelaki sebaya?

Ada yang memilih bukan kerana ingin hidup mewah, tetapi kerana mendapati jiwa mereka tenang dan dihargai apabila berada di samping insan berkenaan.

Begitu juga dari sudut pandang seorang lelaki yang sudah lanjut usia.

Meningkat umur tidak bermakna pintu hati perlu dikunci rapat atau hidup harus bertukar sunyi tanpa peneman.

Menginginkan teman berbual, berkongsi rasa dan menikmati fasa baru kehidupan bersama pasangan adalah fitrah setiap manusia yang masih bernyawa.

Perkahwinan bukan soal persaingan umur, sebaliknya bagaimana dua jiwa saling melengkapi serta menutup kekurangan masing-masing.

Apa yang berlaku di dalam bilik tidur mahupun di dalam dinding rumah mereka adalah ruang privasi yang wajar dihormati, bukannya dijadikan bahan gelak tawa atau bualan kosong di kedai kopi.

Kita mungkin hanya melihat gambar romantis mereka di alam maya atau hadir sekadar menikmati nasi minyak di majlis perkahwinan.

Namun, kita tidak pernah tahu perjuangan, pengorbanan dan ketulusan hati yang mengikat mereka berdua.

Justeru, tidak perlu rasanya untuk kita menjadi 'hakim' kepada kebahagiaan orang lain.

Angka pada usia mungkin berbeza jauh, tetapi apabila dua hati sudah sehaluan dan saling menghormati, bukankah itu takdir?

*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Sinar Plus